Selasa, 23 November 2010

Dari Blog Ketua Pemuda Pusat

Warisan Tradisi dan Penemuan Baru

1. Saya tertarik dengan kenyataan mantan Profesor Madya Program Sains Politik UKM Ghazali Mayudin yang menulis dalam Harakah mengenai PAS Baru dalam Era Politik Baru . Suatu pandangan yang kritis dan wajar ditekuni oleh pemimpin PAS di semua peringkat termasuk diri saya sendiri . Tahniah di atas pandangan yang dikemukakan dan saya pada dasarnya bersetuju dengan pandangan tersebut meskipun ada pengecualian pada satu atau dua perkara yang saya berbeza pandangan dengan beliau.

2. Iklim politik sememangnya telah memasuki era baru yang menjadikan pentasnya lebih lebar , situasinya kian mencabar , saingannya makin getir dan isu - isunya bergerak pantas. Mendepani fenomena seperti ini pastinya seluruh jentera parti yang terdiri dari pemimpin dan anggotanya tidak lagi boleh rehat panjang dan sambil lewa dalam melaksanakan tugas atau amanah perjuangan suci yang disandangnya.

3. Mesti keluar dari zon lama atau wajib membebaskan diri dari cara fikir , cara tindak dan cara dekat yang lama kepada satu pemikiran , tindakan dan pendekatan yang baru dan berkesan tanpa perlu menafikan warisan tradisi lama yang soleh. Sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah menggandingkan warisan tradisi lama yang soleh dengan penemuan - penemuan [ kaedah atau pendekatan ] baru yang bermanafaat dan berkesan untuk mencapai matlamat perjuangan .

4. Kita tidak boleh bersikap prejudis dengan usaha tajdid [ pembaharuan ] kerana pendekatan dan pembawaan parti [ jamaah ] mesti bergerak semasa dan seiring dengan masyarakat yang menjadi sasaran atau madu'unya serta memahami keperluan dan tuntutan semasa yang mesti dilengkapkan oleh pemimpin dan jamaah agar kepimpinan dan wadah perjuangan Islam ini senantiasa berada di arus perdana dan dilihat sebagai bahtera penyelamat yang mampu ditumpangi oleh ummah sedang mereka meronta mohon diselamatkan dari kemungkaran dan keruntuhan tamadun material hari ini .

5. Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah agama yang sesuai dan relevan di sepanjang zaman. Biarpun al Quran diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu namun prinsip , kaedah , iktibar , nasihat , hukum dan isu yang dibawa oleh al Quran masih segar dan hidup. Selama mana perjuangan ini melandasi kaedah dan hikmah al Quran maka selama itulah perjuangan ini terus segar , baru dan sesuai di sepanjang masa perjuangannya.

6. Justeru itu , dalam usaha membugarkan wadah perjuangan Islam PAS ini ditengah - tengah kemelut dan krisis masakini , kita tidak perlu apologatik untuk terus bercakap mengenai dasar dan prinsip perjuangan Islam yang kita dokong seperti perlaksanaan syariah Islamiyah dan seumpamanya. Tinggal lagi kita perlu perluaskan perbahasan secara hikmah [ bijak ] dan himmah [ wibawa ] bukan kasar , keras , bersifat menghukum dan tidak inklusif dalam perbincangan atau perbahasan .

7. Saya tidak bersetuju membawa PAS baru dengan menenggelamkan atau menyembunyikan hasrat atau cita - cita untuk mendaulatkan Islam walaupun ia dilakukan atas nama strategi kerana kelak kita akan dilihat berpura - pura [ hipokrit ] . Kita memperjuangkan Islam dengan pakej asal yang tulen dari Rasul saw. Tiada pakej kedua atau ketiga sekalipun untuk berdepan dengan usaha meraih sokongan dan undi non muslim. Pakej perjuangan kita telah siap dan kekal iaitu al Quranul karim dan ia dibaca oleh seluruh ummat manusia sejak lebih 1400 tahun lalu tanpa sembunyi dan perlu disepikan lagi .

8. Pembaharuan yang perlu kita lakukan ialah sebagaimana yang disebut oleh Ghazali Mayudin iaitu bagaimana kita menafsirkannya kepada ummah agar kita tidak hanya terhenti setakat meriwayat , mengungkap slogan , berkisar dalam aspek tekstual tanpa pergi lebih jauh kepada menyediakan solusi dan tindakan yang berkesan . Sebagai contoh, pemimpin dan anggota PAS mesti sedia berubah secara total untuk keluar dari minda pembangkang kepada minda negarawan atau pemerintah . [ Biarpun ia agak sukar kerana terlalu lama menjadi pembangkang ] tetapi kini keadaan memaksa kita berubah.

9. Kempen baru kita dalam musim atau diluar musim pilihanraya mestilah tidak lagi menggunakan kaedah lama yang hanya membuatkan ahli sendiri berasa syok sementara orang - orang atas pagar dan mereka yang berada di seberang pagar akan lari malah tersinggung rasa dengan cara kita . Sedang kempen adalah untuk mendekatkan orang kepada kita. Kaedah lama seperti perkataan kasar penuh emosi yang dilontarkan mungkin berbalas takbir yang bergema dari kalangan sendiri tetapi ia menambah liar hati orang ramai kepada perjuangan kita. Sebenarnya ini bukanlah kaedah baru pun sebab ianya telah disebut oleh Allah dalam al Quran yang bermaksud : "wahai Muhammad , jika sekiranya kamu berkasar dan keras hati nescaya mereka akan lari daripada kamu"

10. Masaalah utama yang saya lihat dihadapi oleh kita ialah bukan tidak ada perkara "baru" yang mahu dilakukan bahkan kita mempunyai terlalu banyak idea - idea baru yang dicambah sesama kita [ melalui retreat , meeting dan brainstorming ] serta dicampak atau dilontar oleh pihak lain kepada kita tetapi masaalah utama yang dihadapi ialah keupayaan mengurus sumber tenaga , sikap dan minda .

Menjadi PAS baru juga bukan bermaksud kita mesti terkesan dan terpengaruh dengan persekitaran dan keadaan baru yang kita hadapi lalu kita jadi seperti mereka , sebaliknya kita menguasai persekitaran dan memimpin keadaan agar mereka dibimbing ke arah mencapai matlamat perjuangan suci yang kita dokong .

1 ulasan:

Addin berkata...

salam..mohon link blog ana. http://addin77.blogspot.com.blog anta dh dilinkkan..t.kasih

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT