
Ketika artikel ini ditulis, hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi rakyat negara ini yang terlibat akan dapat membuat penentuan dan keputusan dalam pilihan raya kecil (PRK) di dua bukit dan satu batang (Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai) yang bakal berlangsung awal pagi esok.
Sungguhpun hanya tiga kawasan yang terlibat dengan pengundian, namun kesannya cukup besar dan bermakna kerana ia melambangkan citarasa dan hala tuju sokongan rakyat, atau lebih tepatnya referandum rakyat terhadap kepimpinan negara yang baru beberapa hari bertukar tangan daripada Pak Lah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada saat ini, selain Allah SWT, tiada siapa yang benar-benar arif dan yakin mengetahui siapa yang bakal bergelar pemenang. Sudah tentu cakap-cakap yang ada siapa menang siapa kalah setakat ini, hanyalah berupa ramalan dan kenyataan politik semata-mata yang mungkin bersandarkan fakta, tilik dan logik masing-masing.
Di sebalik semua itu, tumpuan dan perhatian sebenar sudah tentu terarah nun kepada Bukit Gantang, kerana pertarungan itu ialah antara dua parti terbesar di negara ini sekali gus dianggap pertandingan menentukan maruah dan penentuan masa depan.
Penulis secara peribadi dan terus terang merasakan pada pusingan ini, calon PAS Datuk Seri Nizar Jamaluddin perlu diberi peluang memenangi PRK ini mengalahkan Ismail Safian dan seorang calon bebas. Mesti dimenangkan kerana mesejnya besar!
Justeru penulis meletakkan tiga sebab betapa signifikannya Nizar mesti dimenangkan.
Pertama, Kemenangan tersebut akan dapat memberi isyarat bahawa perbuatan BN yang didalangi Najib sendiri merampas kuasa kerajaan Perak, kerajaan pilihan rakyat secara demokratik dua bulan lalu adalah tidak bermoral kerana merampas hak rakyat Perak, melanggar tata susila kemanusiaan dan demokrasi serta perlu diajar.
Kedua, kemenangan ini amat perlu bagi mengesahkan bahawa ‘tsunami politik’ yang dilakukan oleh penduduk Pantai Barat Semenanjung termasuk Perak, masih berterusan gelombnagnya sebagaimana ditunjukkan pengundi dalam PRK Permatang Pauh dan PRK Kuala Terengganu sebelum ini.
Ketiga, memenangkan Nizar bererti melahirkan seorang anak Perak sebagai pemimpin masa depan untuk PAS, Pakatan Rakyat dan negara keseluruhannya.
Sebagaimana diketahui ramai, selepas tsunami politik PRU 8 Mac tahun lalu Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk kerajaan di lima negeri selain pertama kali dalam sejarah berjaya mengurangkan majoriti dua pertiga kerusi BN di Dewan Rakyat.
Selama 11 bulan kerajaan pilihan rakyat Perak mentadbir, telah berjaya melaksanakan konsep kerajaan berkebajikan yang begitu prihatin terhadap nasib dan permasalahan rakyat. Bayangkan, longgokan permasalahan selama 50 tahun sedikit sebanyak berjaya diselesaikan.
Namun pada 5 Februari 2009, telah berlaku tragedi rampasan kuasa (coup de tat) oleh Umno diketuai PM yang baru ditabalkan itu. Ia bermula dengan pujukan dan memerangkap beberapa wakil rakyat Pakatan, diugut dan seterusnya diculik.
Menjayakan episod malang ini beberapa pihak telah diperguna dan dipersekongkolkan iaitu SPR, mahkamah, SPRM, polis dan agensi kerajaan negeri termasuk SUK, media dan istana.
Ini sudah tentu merupakan sejarah hitam bagi rakyat negeri Perak kerana mengkhianati amanah rakyat, rakus dan membelakangkan perlembagaan negeri itu. Apa lagi tragedi ini tidak pernah terfikir oleh sesiapapun boleh terjadi di Semenanjung Tanah Melayu ini!
Perbuatan tersebut jelas tidak beradab dan tidak bertamadun apa lagi arkitek pelakunya kini orang nombor satu negara ini. Sementara kerajaan Pakatan Rakyat yang teraniaya, didisumbatkan pula dengan tuduhan ‘derhaka kepada raja’. Justeru di sinilah rasionalnya Nizar dimenangkan demi maruah dan perjuangan rakyat serta pernyataan tuntas protes rakyat!
Sementara itu, pada PRU 12 tahun lalu telah menyaksikan Malaysia (terutamanya Pantai barat dan Kelantan) telah dilanda gelombang tsunami politik di mana di kebanyakan tempat yang lazimnya dimenangi BN, kali ini kalah teruk sehingga Pakatan menakluki 82 kerusi parlimen; Parti keADILan Rakyat (PKR); 31, Democratic Action Party (DAP); 28 & Parti Islam SeMalaysia (PAS); 24.
Perubahan tersebut dilakukan sudah tentulah setelah rakyat meluat, hilang sabar dan mahu mengajar kerajaan yang ada kerana sudah terlampau mabuk kuasa sehingga berleluasalah rasuah, kronisme dan ketidakadilan.
Hak dan khazanah kerajaan (dibaca hak rakyat) dipergunakan semahu-mahunya demi kepentingan peribadi, keluarga dan kroni. Budaya korupsi dan gangsterisme yang disemai dan dimulakan daripada kepimpinan tertinggi, membiak subur hingga ke peringkat paling bawah agensi kerajaan. Negara menjadi porak peranda.
Malangnya BN yang ditulangbelakangkan Umno sebenarnya tidak pernah serik dan tidak mahu berubah. Justeru demi kebaikan rakyat semua, Nizar perlu dimenangkan sebagai isyarat bahawa rakyat Malaysia bukan bodoh dan tidak tahu berfikir lagi. Selaras dengan perkembangan dunia moden, rakyat mahukan perubahan, tidak lagi terbelenggu dan tidak ingin dipergula-gulakan lagi setelah lebih setengah abad merdeka daripada penjajahan Inggeris.
Akhirnya, Nizar ialah tokoh masa depan di mana bintangnya cerah dalam politik. Memilih Nizar bermakna warga Bukit Gantang memilih seorang ahli parlimen bertaraf menteri besar. Ini sudah tentulah amat istimewa dan tidak mudah untuk mendapatkannya lagi jika dilepaskan peluang ini.
Tidak ramai yang sedar, bahawa Nizar punya potensi yang lebih jauh daripada dirinya sekarang. Beliau dikatakan boleh menjadi pemimpin masa depan PAS.
Setelah tercetus era ‘kepimpinan ulamak’ pada awal 1980-an, parti seolah-olah sudah ketandusan pimpinan ‘serba boleh’ – terutama sejak perginya Almarhum Datuk Fadzil Noor – yang dapat menjadi ‘pimpinan rakyat’ sebenar, dalam erti kata berupaya diterima semua kaum, peringkat dan golongan.
Sesetengah pihak berpendapat, kepimpinan tertinggi dalam PAS hampir terputus selepas ini. Sebab sering orang bertanya: “Siapa selepas Hadi?”. Pertanyaan ini ada rasionalnya setelah melihatkan beberapa pemimpin kanan yang ada tidak menampakkan solidariti total, apa lagi setelah secara sinis dikatakan terbahagi kepada Erdogan – Erbakan.
Maka disinilah relevannya Nizar – yang boleh diterima semua pihak atau puak itu – diketengahkan, sekurang-kurang untuk diasuh, diproses dan seterusnya digilap bagi memenuhi peringkat tertinggi parti masa depan.
Jangan lupa DS Anwar Ibrahim juga pernah berkata: “Saya sanggup serahkan kepimpinan negara kepada Nizar!”
Anwar sudah tentu tidak bercakap semberono, melainkan satu penghargaan daripada mantan Timbalan Perdana Menteri itu yang kini sebagai pemimpin tidak rasmi Pakatan. Nah, ini bermaksud Anwar sendiri sudah nampak potensi dan daya kepimpinan Nizar sehingga sanggup meletakkan engineer itu sebagai pemimpin mengatasi dirinya.
Kesimpulannya, tidak rugi pengundi Bukit gantang pada hari bersejarah ini mengundi Nizar. Kerana mengundi Nizar bererti anda mengundi pemimpin besar, pemimpin masa depan iaitu seorang anak Perak yang boleh ‘pergi jauh’ sehingga melangkaui peringkat nasional antarabangsa.
Justeru Nizar mesti dimenangkan hari ini!
- Sidangonline