Jumaat, 23 Januari 2009

Aktivis PAS dituduh maki polis menang kes di mahkamah


Majistret Ida Rahayu Sharif, pagi semalam (22 Januari) telah melepas dan membebaskan aktivis PAS Amiruslan Manaf setelah didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Majistret Temerloh atas tuduhan memaki hamun polis dalam satu program ceramah PAS lima tahun lalu.

Menurut peguam beliau, Ahmad Nizam Hamid, tuduhan yang dikenakan kepada Amiruslan ialah pada 18 Februari 2004, kira-kira jam 8.45 malam, bertempat di Jalan Kampung Berkat di hadapan Sekolah Menengah maran, beliau dituduh menggunakan bahasa atau perkataan yang kurang sopan, aib dan menghinakan kepada Chief Inspektor Kamarudin bin Mat Repah, pegawai kanan PDRM iaitu perkataan “babi polis”.

Perbicaraan dilakukan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalan Kecil 1955 (Akta 336) di mana jika didapati bersalah, akan didenda tidak melebihi RM100.

Sementara itu, Amiruslan ketika ditemui dalam keadaan gembira melahirkan syukur yang tidak terhingga kerana kes yang panjang ini sudahpun berakhir.

“Saya bukanlah suka sangat dengan perbicaraan kes di mahkamah, tapi yang membuatkan saya tak puas hati dan lawan kes ini ialah kerana kesalahan kecil ini saya telah digari dan dilokapkan semalaman. Saya menuntut kebenaran ke atas diri saya,” jelasnya.

Tuduhan dan perbicaraan tersebut ekoran satu ceramah di Maran menjelang pilihan raya umum 2004 yang melibatkan Hj Mohd Sabu dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Perbicaraan di Mahkamah Seksyen Temerloh bermula pada 2005.

PKR Pulau Pinang gugur Mohd Fairus dari jawatan Timbalan Pengerusi


PKR Pulau Pinang merombak jawatankuasa perhubungan negerinya dengan menggugurkan dua daripada tiga timbalan pengerusinya, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin.

Seorang lagi timbalan pengerusi PKR negeri yang digugurkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tambun, Law Choo Kiang.


Tempat Mohd Fairus digantikan oleh Dr Mansor Othman manakala Law digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Tan Hock Leong.

Bagaimanapun Mohd Fairus dilantik sebagai ahli jawatankuasa jemputan.

Manakala Datuk Zahrain Mohamed Hashim kekal sebagai pengerusi PKR negeri dan Adun Batu Uban, S Raveentharan kekal sebagai timbalan pengerusi negeri.

Jawatan ketua Pemuda PKR negeri yang kosong sebelum ini diisi ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Mustafa Kamal Mohd Yusoff mengekalkan jawatan setiausaha perhubungan negeri, manakala Mohamed Fauzi Noordin kekal sebagai penolong setiausaha.

Dua lagi penolong setiausaha merupakan muka baru iaitu, Lim Boo Chang dan M Nyanasegaran.

Manakala Diong Chong Mee dilantik sebagai timbalan ketua Wanita negeri.

Setiausaha kerja PKR Pulau Pinang, Abdul Latif Abdullah, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan senarai rombakan jawatankuasa perhubungan PKR negeri itu.

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT