Rabu, 31 Mac 2010

Ilmu Diikat Dengan Catatan, Organisasi Diikat Dengan Mesyuarat


Oleh : Pecah Minda

Salam persahabatan...

Nadi kepada organisasi tidak terletak pada keutuhan ekonominya, tidak terletak pada kebijakan perancangannya, tidak terletak pada susunan panjang programnya, tidak terletak pada kepetahan perdebatannya, tidak terletak pada senarai panjang jawatankuasanya, tidak terletak pada profil-profil yang dihias cantik.

Tetapi, nadi organisasi terletak pada mesyuarat. Biar berbukit sumber ekonominya, tanpa mesyuarat mustahil bukit itu mampu diratakan dan kita tidak akan mendapat hasilnya.

Biar berkajang-kajang perancangannya, tanpa mesyuarat ianya hanya tinggal perancangan, tanpa mampu direalisasikan dalam situasi terkini dan mutakhir masyarakat.

Biar berjela-jela susunan program sepanjang tahun, tanpa mesyuarat tentu program berlangsung dengan seribu satu ketempangan tanpa kesempurnaan dan kesinambungan.

Biar sebagaimana cantik hiasan profilnya, sasaran dan matlamat diluar kertas semakin menjauh dari yang dijangkakan.

Oleh itu, memandang sinis kepada institusi mesyuarat adalah satu langkah paling tidak bijak dalam mengurus organisasi.

Selain tempat percambahan idea, pertembungan minda, penjanaan pemikiran, penyatuan fikrah dan penghasilan satu matlamat yang jelas dan terarah.

Mesyuarat juga berfungsi besar sebagai satu medan mengikat ahli organisasi agar memberi tumpuan yang berkala dan berjadual terhadap matlamat yang disepakati bersama.

Sebagaimana kata-kata tuan guru; Ilmu itu adalah buruan, maka mencatat ilmu itu adalah sebagai kandang atau pengikatnya. Begitulah dalam berorganisasi, mencari kata putus terbaik dan paling tepat adalah matlamat kita maka medan mesyuaratlah yang menjadi penentu dan pengikat kepada sesebuah organisasi.

Oleh itu, samada kita sebagai peneraju organisasi atau sebahagian dari organisasi, jangan biasakan diri memberi pelbagai alasan untuk tidak menghadiri atau sengaja datang lewat ke tempat mesyuarat hinggakan sahabat-sahabat yang lain terpaksa menunggu lama untuk memulakan sesebuah mesyuarat.

Seorang sahabat pernah bertanya; “adakah kita dikira berdosa sekiranya gagal merancang masa dengan sempurna hingga lewat tiba dalam mesyuarat sedangkan sahabat yang lain menunggu-nunggu kedatangan kita? Cukupkah sekadar kita memberi alasan kesibukan dan sahabat lainnya mengangguk kepala dalam geram? Bukankan itu tandanya kita menzalimi sahabat kita? Membuang masa sahabat kita sedangkan dia juga mempunyai urusan lain yang sama sibuk seperti kita!”

Ana cuba balas persoalan itu dengan nada yang agak kontra; “berbanggalah kita mempunyai sahabat yang sebegitu, walaupun terlewat masih mampu untuk terus bersama kita. Walaupun sibuk masih mampu untuk meneruskan agenda perjuangan bersama kita. Walaupun sikap sebegitu menggeramkan kita, kita masih memperolehi pahala dengan bersabar dan terus bersabar. Sebenarnya itulah jalan untuk mendapatkan pahala tanpa perlu bersusah payah!”

Akhirnya kami terdiam. Begitulah Allah Taala menciptakan kita. Selagimana kita mempunyai akal, pro dan kontra akan sentiasa melingkari kehidupan kita.

Renungkanlah wahai sahabat seperjuanganku... sekiranya kita memberi alasan sibuk, maka orang gila lagi sibuk dari kita, mundar mandir tanpa henti dengan kepala penuh dengan masalah yang sampai bilapun tak mampu kita fahami.

Akhir bicara, sentiasalah ceriakan wajah dan hati kita untuk terus bermesyuarat dan bermesyuarat, hingga bermesyuarat itu menjadi satu rutin harian baru kita dan sumber keceriaan wajah dan hati kita, insya Allah.

Allahu Akbar !!!

Selasa, 30 Mac 2010

Sekitar Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Temerloh

Adun Kuala Semantan, YB Syed Hamid merasmikan Mesyuarat Agung DPP.

Sof pimpinan DPP sedang tekun mengikuti ucapan perasmian.


Ketua Dewan Pemuda Pas Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak



Perwakilan Mesyuarat Agung sedang menyanyikan lagu Tema Pas.



















YB Syed Hamid sedang menyampaikan sumbangan kecemerlangan SPM 2009 kpd anak aktivis Pas, Saudara Mokhtar Adnan.Turut menerima sumbangan tersebut ialah anak kpd Ustaz Hassan Omar dan anak Ustaz Hamdan.

Isnin, 29 Mac 2010

Kejumudan Portfolio


Oleh : Ayahngah

Salam Perjuangan.

Alhamdulillah, selesai satu tanggungjawab bersama pemuda cawangan dan kawasan apabila berjaya melaksanakan tuntutan jemaah dalam Mesyuarat Agung DPP Temerloh di Darul Ansar, Lanchang baru-baru ini.

Kehadiran agak memberansangkan terutama melibatkan pemuda-pemuda Dun Lanchang. Terima kasih kepada pemuda Felda Bukit Damar kerana sudi menyumbangkan seekor lembu untuk jamuan Mesyuarat Agung DPPT dan PAS Kawasan Temerloh yang dijangka pada hari sabtu, 3 April 2010 ini.

Cuma apabila diteliti laporan aktiviti lajnah dan jabatan DPPT, ayahngah teringat kata-kata seorang sahabat yang ayahngah anggap sebagai abang dan pembimbing dalam perjuangan ini.

Tertarik dengan satu istilah yang terpancul keluar dari bibirnya ketika asyik menghirum Radix ‘mai secawan’ iaitu 'KEJUMUDAN PORTFOLIO', maka terdetik dalam pemikiran... ada perbahasan panjang tentang kalimah tersebut.

Bagi menjana kesamarataan pengalaman dan keadilan dari sudut sumbangan tenaga dan idea dikalangan setiap ahli organisasi yang memegang pelbagai portfolio yang berbeza, sudah tentu disana memerlukan satu pemurnian fikrah yang mencerminkan kesepaduan dan keharmonian organisasi itu sendiri.

Dengan kata lainnya, ahli organisasi tidak boleh hanya memandang dan memberi perhatian khusus terhadap portfolio yang diamanahkan untuknya semata-mata tapi perlu menjadi nilai tambah baik kepada portfolio yang dipegang oleh sahabat lainnya dalam sebuah organisasi. Peranan sesebuah organisasi begerak dalam masyarakat seumpama sebuah team bolasepak, walaupun kita mempunyai posisi atau peranan yang berbeza, tetapi di atas padang, matlamat kita tetap satu iaitu menewaskan pihak lawan. Maka peranan pemain pertahanan dan peranan pemain penyerang adalah saling melengkapi.

Begitu juga dalam berorganisasi, kita tidak boleh menuding jari melihat kelemahan atau kekurangan sesuatu portfolio yang disandang oleh sahabat lain tanpa menjadi suatu elemen penambak-baikkan bertujuan memperkasakan organisasi kita sendiri. Begitu juga kita tidak boleh bermegah dan berbangga dengan kekuatan dan kesempurnaan portfolio sendiri hingga langsung tidak memikirkan bagaimana sepatutnya idea dan pemikiran kita dapat membantu portfolio lain dalam mencapai matlamat dengan lebih berkesan dan bermanfaat.

Lantas, bagaimana mengelakkan kejumudan portfolio?

Pertamanya, perlu kita menanam satu rasa kekitaan yang tinggi dalam diri sendiri dengan tidak sesekali menghak-milikkan sesebuah portfolio yang diamanahkan kepada kita. Ini dapat disemai melalui kekerapan mesyuarat dan usrah yang akan membentuk suatu sikap keterbukaan dan kebersamaan dikalangan anggota organisasi.

Keduanya, apabila lahir semangat kekitaan tersebut, semua idea perlu dibahaskan dan dicanai secara kolektif dengan mengambilkira pendapat dan pandangan semua pihak tanpa pengecualian.

Ketiganya, setiap ahli perlu menyibukkan diri dengan memberi pandangan-pandangan berbeza yang akan menghasilkan satu keputusan yang lebih tepat dan sempurna tanpa diikat oleh kedominanan sesuatu pandangan atau pendapat.

Akhirnya, satu pemurnian fikrah perlu diagendakan berdasarkan perbezaan-perbezaan pandangan tersebut dengan melihat aspek matlamat sebagai tunjang sesuatu keputusan.

Sekiranya kita mampu untuk mengelakkan kejumudan portfolio ini dari terus mencengkam sesebuah organisasi, maka kita yakin dan percaya, organisasi akan mampu kita lonjakkan pada tahap tertinggi dan berkesan seterusnya mengutuhkan lagi sesebuah gerakan dan jamaah...

Jumaat, 26 Mac 2010

MESYUARAT AGUNG PEMUDA PAS TEMERLOH



Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Temerloh kali ke-28

Tarikh : 28 Mac 2010
Hari : Ahad
Jam : 9 Pagi
Tempat : Darul Ansor, Kg Chempaka, Lanchang
Perasmian Oleh : YB Syed Hamid Syed Mohamad

Semua Pemuda2 seluruh Temerloh dijemput hadir



Ahad, 21 Mac 2010

KARNIVAL ORANG MUDA GENG KITA

Karnival orang muda geng kita, selama dua hari berjalan lancar walaupun dihari pertama menyaksikan hujan turun berterusan sehingga petang.Majlis bermula seawal jam 9 pagi dengan uacapan dari pimpinan DPP negeri dan juga dari Timbalan Pesuruhjaya, ustaz Yusof Embong.Perasmian disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi yg berucap dgn penuh semangat.



Karnival yg penuh dgn aktiviti sepanjang hari ini mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat.Antara aktivitinya ialah Pemeriksaan Kesihatan percuma, Kaunter jualan dan pameran pelbagai barangan dan dari berbagai agensi.




Juga diadakan sukan Paintball dan sukan rakyat.Ternyata Sukan Paintball berjaya menarik perhatian ramai kerana mungkin ianya sukan yg baru dikenali dan penuh cabaran.DPP Temerloh yg juga menghantar wakil dlm acara ini menang bergaya pada perlawanan pertama mereka walaupun tewas pd perlawanan kedua.Apapun ini pengalaman yg sangat berharga bagi pemuda Temerloh khususnya, kerana diwakili oleh remaja2 belia yg masih muda.



Malam tersebut diadakan Malam Kesenian yg dijayakan oleh Artis2 seperti Renggo arrow, Muslim Voice ( Acapella), Kamarul Raihan, sementara pengacara majlis ialah Ustaz Akhwan Affendi yg berjaya menghidupkan majlis pd mlm tersebut. Beliau juga turut menyanyi beberapa lagu.



Ustaz Syukri dari Temerloh berjaya menduduki tempat kedua seluruh negeri Pahang dlm acara yg sangat mendebarkan iaitu acara.........BOWLING KELAPA !


Pasukan dari Temerloh sedang menimbang bola takraw dgn penuh semangat sehingga mampu menjuarai tempat yg tidak mendapat hadiah.Tahniah kpd mereka.kelihatan juruletih sedang memerhati gelagat anak buahnya.Beliau baru sahaja memenangi acara Gusti Lengan.
Pada hari ini diadakan acara2 seterusnya seperti Merentas Desa dll.Dan pada mlm ini Ceramah Perdana menampilkan Ustaz Nasarudin Tantawi, Saifudin Nasution, Zaid Ibrahim dll.
Semuga Karnival seumpama ini yg berjaya mengumpulkan Pemuda2 dari seluruh negeri akan memberi semangat baru kpd mereka utk menjadi pemuda yg berkualiti zahir dan batin dan akan berjuang kpd kebenaran insyaallah.





Selasa, 16 Mac 2010

Ijtima` Pas Temerloh

Abg Mat Sabu menjadi penceramah utama pada malam penutup program "Jom Sertai Pas" peringkat kawasan.Turut berceramah pada malam itu YB Tian Chua, YB Khalid Samad dan Ustaz Rahim Latif.Sementara Dato` Tuan Ibrahim membaca doa penutup diakhir majlis.
Kehadiran dianggarkan 10,000 orang yg berpusu2 datang memenuhi tapak ceramah di Sg Gau ini. Jikalau kehadiran pada malam dijadikan tanda aras sokongan terhadap Pakatan Rakyat, alamat BN akan Ghuyup pada PRU 13 ini insyaallah.

Kejohanan Futsal Piala YB Kuala Semantan diadakan disebelah siang bertempat di Gelanggang Futsal Bukit Tingkat.Penyertaan begitu menggalakan. Hadiah di sampaikan pada malamnya di sempurkan oleh YB Kuala Semantan sendiri, YB Syed Hamid Syed Mohamad.
Johan dimenangai oleh Paya Keladan FC yg diterima oleh wakilnya( Gambar )


Malam sebelumnya turut diadakan Ceramah perdana yg di pengerusikan oleh Ustaz Jauhari Ishak, Ketua Pemuda Pas Temerloh.Penceramahnya ialah YB Husam Musa, Saudara Hanipa Maidin, Saudara Nizam Hamid dan Ustaz Rahim Latif.
Tetamu istimewa pada malam tersebut ialah Pemuda dari Selatan Thailand.




Sabtu, 13 Mac 2010

Hujan Turun Ketika Solat Istisqa


Subhanallah. Maha Suci Allah yang menjadikan semua urusan di dunia ini dibawah kekuasaannya. Kejadian semalam seperti yang kita maklum, suatu anugerah Allah kepada hambanya yang bersyukur dan senantiasa mengharapkan RedhaNya.

Ketika kita mengeluh keterikan panas matahari, kita memohon semoga ujian ini tidak lama. Tuan Guru selaku MB Kelantan, para exco dan rakyat turut sama bermunajat dan merayu agar Allah menurunkan hujan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Allah Maha Mendengar Lagi Maha Penyayang. Belum selesai rakaat pertama solat Istisqa, hujan turun agak lebat hinggakan basah kuyup ahli jemaah. Ini tanda Allah masih sayangkan umat Islam di Malaysia ini.

Kita mohon para penderhaka kepada Allah dan RasulNya bertaubat dan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Usah lagi khianati perjuangan Islam ini. Jangan khianati kepercayaan rakyat selama ini. Ingatlah sebelum terlambat.

Harakahdaily
KOTA BHARU, 12 Mac: Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.

Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.

Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.

Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.

Rabu, 10 Mac 2010

Awan Pelik di Uruguay [ALLAHU AKBAR]

Ketika kita di Malaysia ini diuji dengan panas terik, satu kejadian luar biasa berlaku di Uruguay. Lihat gambar...







Selasa, 9 Mac 2010

Isu Kartika : Siapa Lebih Berkuasa?


Oleh : Mat Sabu Lompat

Hairan bin ajaib. Mahkamah dah putuskan Kartika (foto di bawah) bersalah kerana minum arak dan telah dijatuhkan hukuman denda RM5,000.00 dan 6 kali sebatan. Kononnya, 3 orang wanita di Kuala Lumpur telah menjalani sebatan atas kesalahan yang dilakukan.

Pada permulaan kisahnya, tidak boleh jalankan sebat sebabnya dalam bulan Ramadhan. Habis doh bulan posenya. Kemudian katanya, tidak boleh sebat sebab takde orang hok pandai nyebatnya. Pulok dah!

Menteri dan pembesor negeri dan negara pakat suruh Kartika merayu minta diringankan hukuman dan tak yoh kena sebat. Kartika pulok ’degil’ nak kena sebat. Sister SIS @ Sedara In Setan pakat maki hamun hukum Islam.

Tetiba, Menteri umum 3 orang pesalah wanita di KL dah kena sebat. Pulok! Oklah tu. Bapokla sukahati Kartika sebab dia akan kena sebat. Tapi, kena panggil mengadap TM Pahang pulok. Apa ke bendanye lagi ni??

Lepas tu Sultan pulok nak adili kes Kartika! Lukenabeb! Lu kena main dek mamat dan minah menteri dan pembesar negeri dan negara.

Lepas ni, mana-mana pesalah kes curi, bunuh, rogol dan sebagainya, koi cadangkan aokme minta diadili oleh mahkamah syariah. Lepas jatuh hukuman, aokme tak yah rayu, sebab menteri dan pembesar negeri dan negara akan tolong rayu. Jangan lupa ajok SIS sekali.

Akhir cerita raja lawak, koi tak nak cakap lagi sebab maggi koi dah kembang. Wassalam.

Sultan Ahmad Shah belum putus nasib Kartika
Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my

TEMERLOH - "Buat masa ini belum ada apa-apa lagi."
Demikian titah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkaitan isu hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, kerana minum arak yang masih tertangguh sejak 1 Disember 2008 sehingga sekarang.

Bagaimanapun, baginda bertitah akan mendapatkan maklumat lanjut tentang pertemuan yang diadakan antara model sambilan itu dengan anakandanya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah di Pekan baru-baru ini.

Isnin, 8 Mac 2010

Dua Tahun Pakatan Rakyat, PAS Kekal Sebagai Komponen Yang Penting


Oleh: Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Pada hari ini, 8 Mac adalah hari yang paling bermakna buat rakyat dan Pakatan Rakyat (PR). Dua tahun yang lalu iaitu pada 2008 rakyat telah menunjukan betapa seriusnya mereka mahukan perubahan dalam kepimpinan negara.

Kelantan kekal di tangan PAS dan lima negeri lagi jatuh ke tangan PAS, PKR, DAP iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan (Mujurlah Wilayah tidak ada DUN).

Dengan kejayaan itu, ia memberikan inspirasi kepada penubuhan PR yang mengukuhkan kedudukan rakyat yang bencikan kezaliman BN. PR menguasai 82 kerusi Parlimen dan BN menguasai 140 kerusi Parlimen.

Selepas 8 Mac 2008, Umno kembali menyedari bahawa mereka kini kembali bersendirian menjadi juara BN selepas kekalahan teruk komponen lain kecuali parti-parti di Sabah Sarawak. Umno cuba memujuk PAS untuk bergabung di Selangor, Perak dan Kedah. Di Perak mereka mengunakan Mufti Negeri itu, Tan Sri Harussani Zakaria untuk memujuk PAS mewujudkan kerajaan campuran dengan Umno. Namun PAS terbukti sebagai parti yang mementingkan persahabatan dan tidak pernah lupa akan dosa-dosa Umno-BN kepada rakyat. Ke semua tawaran penuh tipu muslihat itu ditolak dan PAS nekad mewujudkan Kerajaan Pakatan.

Walaupun ramai yang mempersoalkan pendirian PAS berhubung usaha Umno itu, namun jelas bahawa PAS adalah parti yang berprinsip dan tidak mudah terpengaruh. PAS memiliki 3 Menteri Besar di Kelantan, Kedah dan Perak ketika itu.

Umno yang kecewa dan tidak berpuashati dengan kekalahan teruk itu menukar Presiden mereka pada tahun 2009 dan Tun Abdullah Badawi disingkirkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Sedang diperingkat PR, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding semula di Permatang Pauh sebagai tiket untuk memasuki semula Parlimen sejak dipecat oleh Tun Mahathir pada tahun 1998.

Dengan kembalinya Anwar yang kemudiannya dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, PR menjadi lebih kukuh. Usaha mewujudkan PR secara rasmi dibuat dan PR didaftarkan secara rasmi dalam senarai Pendaftar Pertubuhan.

Kerusi PR bertambah selepas PAS kembali menguasai Parlimen Kuala Terengganu dan menjadikan kedudukan di Parlimen 83 PR, 139 BN pada Januari 2009. Dan BN ketika itu terdesak untuk melakukan rombakan strategi.

Tanpa memikirkan kepentingan dan sensitiviti rakyat, Umno-BN melakukan kezaliman terbesarnya dengan merompak Kerajaan PR di Perak melalui strategi membeli 3 orang ADUN- Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Gabungan PR yang begitu muda, dengan usia kurang dari dua tahun ketika itu turut menerima pelbagai cabaran.Umpama anak kecil yang belajar bertatih, PR tidak mengenal erti putus asa.

Dengan kesepakatan PR, cadangan DAP Kedah untuk keluar PR ditarik balik dan semua pihak kembali bekerjasama.Di Selangor, Umno cuba melagakan PR dengan isu-isu Kerajaan Perpaduan, isu agama-Arak, Nama Allah, Kepala Lembu dan sebagainya. Namun PAS mempunyai cara yang tersendiri, dan PR tidak dapat digoyahkan.

Tidak cukup menyerang PAS, DAP di Selangor difitnah sebagai parti yang ditaja oleh samseng dan kongsi gelap. Malah isu kematian Teoh Beng Hock juga menjelaskan lagi usaha memfitnah DAP yang dikatakan menyalahgunakan dana rakyat melalui penyelewengan beberapa ADUNnya. Namun hingga kini belum ada ADUN yang disabitkan bersalah. Rakyat pula bertanya, kenapa ADUN PR dikejar oleh SPRM macam mengejar penjenayah besar, sedangkan Khir Toyo dan beberapa ADUN BN yang dilaporkan mengamalkan rasuah semasa memerintah lambat diambil tindakan.

PKR juga diserang dengan pelbagai isu, dari kes ADUN Bukit Lanjan hinggalah kes YBK yang mana jelas Umno cuba menunjukan kepada rakyat yang kononnya PR menindas rakyat.

Di Pulau Pinang, isu kontraktor Melayu tidak habis-habis diungkitkan. Tetapi rakyat tahu bahawa begitu banyak kontraktor Melayu mendapat manfaat dengan pemerintahan PR. Yang gagal dapat projek adalah kontraktor Umno yang selalu mengambil tender kemudian menjualnya pada bukan Melayu.

Di Kelantan, Umno-BN menumpukan serangan kepada batang tubuh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pelbagai isu peribadi beliau dijadikan bahan oleh Umno, namun rakyat Kelantan lebih mengenali beliau menolak fitnah-fitnah yang dilontarkan Umno.

Penat menabur fitnah, kini BN berusaha kembali untuk menguasai 2/3 Parlimen dengan membeli beberapa ahli Parlimen. Bermula dengan Ibrahim Ali di Pasir Mas, BN kemudiannya membeli secara borong 3 ahli Parlimen PKR yang keluar secara bergilir-gilir.Bermula dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed, kemudian Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri. PKR turut memberikan satu lagi ahli parlimen yang paling bermasalah iaitu ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai 'hadiah'- Beli 3 dapat 1 'percuma'. Yang pasti ramai menganggap mereka adalah 'sampah-sampah' terbuang yang dihambat keluar bagi membersihkan PR.

Walaupun PR kini tinggal 78 kerusi namun, itu sedikitpun tidak melunturkan kekuatan PR. Pergolakan Pakatan secara dalaman dan luaran adalah lumrah bagi mana-mana organisasi. Namun PR masih kekal bersatu walaupun permulaannya seperti anak-anak yang mula bertatih, namun PR cepat belajar dari apa yang berlaku.

PAS mengucapkan tahniah buat seluruh kepimpinan PR, ahli dan mereka yang menyokong PR selama 2 tahun kebelakangan ini. Kekuatan PR bukanlah kerana satu, dua atau tiga individu sahaja. ianya adalah kekuatan semua pihak dari akar umbi hinggalah ke pucuk pimpinan.

Kepada semua wakil rakyat PAS berharap agar anda menunaikan amanah rakyat dengan sebaiknya dan ingatlah, sesungguhnya amanat rakyat yang terpikul dibahu bukanlah barang mainan yang boleh digadai sana sini. Jika hari ini anda fikir boleh menjual diri anda dengan wang ringgit, ketahuilah ketika mati nanti tidak mustahil akan datang orang-orang yang membenci kezaliman itu diatas kubur anda pula.

Di peringkat PAS kita mengharapkan kerjasama dari semua ahli, penyokong dan kepimpinan untuk sama-sama melangkah kehadapan demi untuk kebaikan rakyat dan semua pihak. PAS meletakkan perjuangan Islam sebagai keutamaan dalam memberikan keadilan, kesejahteraan dan manfaat buat semua. Kerana perjuangan Islamlah yang meletakan PAS berdiri teguh pada hari ini dan menjadi komponen Pakatan yang amat penting, efektif dan progresif hari ini.



SAMBUTAN MAULIDURRASUL

Sambutan Maulidurrasul telah diadakan ditapak pasar malam Taman Temerloh Jaya.Program anjuran B`muslim dgn kerjasama Pasti Az-zahra` ini bermula seawal jam 8 pagi dgn perarakan dari Pasti Az-zahra` ke Tapak Pasar Malam TJ.Turut serta dlm perarakan ini ialah Pelajar Tahfiz Berhala Gantang,Ibubapa pelajar Pasti, wakil2 dari Tadika dan Pra Sekolah sekitar Temerloh Jaya serta orang awam.Mereka berarak sambil berselawat utk menzahirkan kecintaan mereka kpd Rasulullah.Beberapa kain rentang dibawa bersama Bunga Manggar memeriahkan lagi perarakan tersebut.


Kehadiran dari pelbagai latarbelakang masyarakat utk sama2 menjayakan program ini.Canopy yg disponser oleh Persona Mahligai(Abg Pian), penuh dgn hadirin.



Penceramah jemputan, Ustaz Nawawi berjaya menghidupkan majlis dgn ceramah yg bertajuk "Lahirmu disyukuri, Sunnahmu diikuti"



Kumpulan Huffaz memang dinantikan kemunculan mereka dgn lagu2 nasyid yg memukau diawal dan akhir majlis.



Kaum India turut serta dlm majlis sambutan Maulidurrasul kali ini.Kelihatan dlm gambar, adik yg berbangsa India dari Tadika Perpaduan sedang menerima hadiah dari En Zubir (Wakil YB Kuala Semantan) dlm pertandingan mewarna yg turut diadakan dlm Program ini.

Sabtu, 6 Mac 2010

Beku Sementara Takaful Khairat Kematian


TEMERLOH, 5 Mac: PAS Pahang membekukan sementara Program Takaful Khairat Kematian Dana Taqwa bagi sesi 2010.

Setiausahanya, Roslan Zainal Ahmadi berkata, tindakan pembekuan diambil ekoran kenaikan kadar sumbangan tabaruk yang dikenakan syarikat pengendali takaful berkaitan.

Katanya, kenaikan premium akan menjejaskan kemampuan peserta berbanding tahun 2009.

Bagaimanapun, katanya Dana Taqwa diberi jaminan oleh syarikat pengendali akan membayar semua tuntutan yang dibuat peserta sebelum 1 Mac 2010.

Dana Taqwa, kata beliau mendapat sambutan baik daripada seluruh masyarakat Malaysia termasuk bukan Islam.

Difahamkan 17,000 peserta menyertai program itu dan lebih 200 peserta telah mendapat manfaatnya.

Jelas beliau, jumlah perlindungan yang dibayar syarikat berkenaan melebihi RM1.2 juta.

Sehubungan dengan itu juga, Dana Taqwa akan membuat pembayaran balik kepada semua peserta yang telah membuat bayaran bagi sesi 2010.

Roslan memberi jaminan, PAS Pahang melalui Dana Taqwa akan meneruskan program yang memberi manfaat itu dan pihaknya kini sedang berunding dengan beberapa buah syarikat pengendali takaful sedia ada.

“Program bermanfaat ini tetap menjadi pilihan kepada Dana Taqwa demi kebajikan ahli parti dan para penyokong PAS di seluruh negeri,” ujarnya.

Jumaat, 5 Mac 2010

SEE YOU IN COURT …


Oleh : Labu bin Labi

Seorang teman ada menceritakan perihal satu kejadian tidak diduga telah berlaku di sekolah, tempat isterinya mengajar.

Ia berkaitan seorang pelajar yang didapati mencuri telah dipukul oleh 18 orang pelajar termasuk ketua pengawas dan ketua pelajar.

Pelajar bernama R telah membuat aduan kepada guru besar dan mengugut akan membuat laporan polis. Setelah perbincangan demi nama baik sekolah dan masa depan pelajar, R menuntut setiap seorang yang memukulnya membayar RM50.00 atau jumlahnya RM900.00.


5 hari kemudian, R pulang ke rumah dan kembali ke sekolah bersama ayahnya dan anggota polis. R mengaku ayahnya tidak berpuas hati kerana pampasan terlalu sedikit. Sedikit penjelasan, tubuh R sihat dan tidak mempunyai kecacatan atau kecederaan. Hanya lebam sedikit dimukanya. Ayahnya menuntut setiap pelajar membayar RM500.00 seorang atau jumlahnya RM9,000.00.

Ayahnya juga menuntut pihak sekolah memanggil semua ibubapa pelajar terbabit. Maka, berlakulah sedikit pertengkaran diantara mereka. Akhirnya, semua pelajar membayar RM50.00 seorang dan jumlah RM900.00 dimasukkan ke dalam akuan bank R dengan jagaan guru.


Kisah di atas hanyalah satu daripada ribuan cerita ugutan dan saman menyaman yang membabitkan institusi pendidikan negara. Pelajar saman guru, guru saman ibubapa, ibubapa saman guru, guru saman guru besar dan pelbagai lagi. Teruk sangatkah dasar pendidikan hari ini?

Kisah di atas sebagai contoh hilangnya sensetiviti ibubapa bila anaknya didapati mencuri. Bahkan memaksa pihak sekolah membayar pampasan berpunca sikap mencuri anaknya. Hilang isu mencuri, isu pukul pulak difokuskan.

Kisah lain pula, pelajar didenda akibat kenakalan dan kedegilan di sekolah. Tapi ibubapa pula ke sekolah menampar guru berkenaan. Anak-anak hari ini ‘cukup beruntung’ kerana tiada lagi kesungguhan guru mendisplinkan mereka di sekolah. Di rumah pula, mereka bebas mengikut hawa nafsu mereka.

Jika dulu, ayah menghantar anak ke sekolah agar dengan harapan menjadi insan berguna kepada masyarakat. Hari ini, kebanyakan ibubapa menghantar anak agar mereka boleh dapat no.1 dalam exam atau dapat gred tinggi dalam SPM. Berbeza kan?

Hari ini jika anak terlalu nakal dan tidak dapat dikawal, maka anak itu akan dihantar ke sekolah agama berasrama atau sekolah pondok dan seumpamanya. Alasannya, tidak tahan lagi melihat dihadapan mata setiap hari.

Akhirnya, anak itu telah merosakkan suasana pembelajaran di sekolah baru. Lebih teruk lagi anak itu telah mengembangkan pengaruhnya dan berlaku buli membuli di sekolah. Sekolah agama @ pondok dah jadi tempat pemulihan akhlak remaja. Anak-anak yang baik dan cerdik dihantar ke sekolah yang kononnya memberi harapan masa depan mereka.

Sepatutnya anak-anak yang cerdik dan baik ini dihantar ke sekolah agama @ pondok untuk mereka lebih mendalami agama seterusnya mendidik generasi akan datang. Pelik, kan?

Dah sampai masanya, dasar pendidikan negara dirombak sesuai dengan tuntutan Islam yang syumul. Moga Islam akan menang dan menerangi bumi bertuah ini.

Khamis, 4 Mac 2010

SIBUKKAH KITA ??


Oleh : Pengemis Redha Ilahi

Bilamana disoal, “Kenapa aok tak datang semalam?” Dengan penuh yakin kita menjawab, “Sibuk benar!” dan antara jawapan biasa kita dengor “Koi sibuk betui semalam”. “Anak kecik koi demam”. “Bini koi pening kepala”. “Jiran sebelah kenduri tahlil”. “Kawan adik angkat kepada adik ipar belakang rumah kawin”.

Persoalannya, adakah kita benar-benar sibuk? Terlalu sibuk atau kita gagal membezakan keperluan segera dengan keperluan bertangguh? Di pejabat kita disibukkan dengan kerja-kerja pejabat. Di rumah kita kita juga akan disibukkan dengan masalah di rumah. Di luar, kita juga disibukkan dengan perkara-perkara berikut :

1. Sibuk bersembang kosong dengan kengkawan
2. Sibuk bermain sukan kesukaan
3. Sibuk dengan kerja-kerja jemaah
4. Sibuk menghadiri kenduri dan majlis makan yang lain
5. macam-macam lagi

Dimana kesibukan kita? Moga Allah memilih kita diantara golongan yang disibukkan dengan kerja-kerja jemaah, insyaAllah.

Bulan Mac ini merupakan BULAN SIBUK buat DPP. Pelbagai jenis mesyuarat dan aktiviti yang terpaksa dihadiri dan disertai samada di peringkat Kawasan, Negeri mahupun Pusat.

1. Jumaat, 5 Mac : Mesyuarat Pemuda Zon dan Peti Undi
2. Sabtu, 6 Mac : Taklimat Orang Muda Geng Kita (DPP Pusat)
3. Ahad, 7 Mac : Sambutan Maulisur Rasul
4. Jumaat, 12 Mac : Ceramah Perdana
5. Ahad, 14 Mac : Kejohanan Futsal Tertutup Temerloh
6. Isnin, 15 Mac : Jamuan Rakyat MTD Kuala Semantan
7. 14 & 15 Mac : Ijtimak Penerangan PAS Temerloh
8. Sabtu, 20 Mac : Himpunan Pemuda Islam Pahang (DPPN)
9. Ahad, 21 Mac : Karnival OMGK (DPPN)
10. Ahad, 28 Mac : Mesyuarat Agung DPPT

Ini tak dikira lagi jumlah mesyuarat yang perlu dihadiri untuk memastikan program berjalan lancer. Entahlah, moga Allah membuka hati sahabat-sahabat lain untuk turut sama menjayakan program yang dirancang. Amin.

10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sekiranya Anda Ditahan Polis


Oleh : SUARAM

1. BAGAIMANA MENDEFINASIKAN ISTILAH ‘DITAHAN’? HANYA APABILA …
a. Polis berkata kepada anda, “Anda ditahan”
b. Polis menggari tangan anda
c. Anda dilarang dari meninggalkan sesebuah bilik, kawasan atau sebagainya oleh pihak polis

2. BAGAIMANA SEKIRANYA ANDA DITAHAN OLEH PIHAK POLIS (semasa berjalan, memandu pulang dsb.)
a. Anda mungkin akan disoal. HANYA berikan butir-butiran diri anda seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat. Anda juga mungkin akan diminta menunjukkan kad pengenalan diri anda
b. Anda tidak perlu menjawap lain-lain soalan
c. Biasakan bertanya pengenalan diri polis yang berkenaan. Sentiasa catatkan nama dan nombor kad pengenalan mereka.
d. Catatkan nombor kenderaan ronda mereka

3. JIKA ANDA DITANYA LAIN-LAIN SOALAN
a. Tanya kepada polis berkenaan, “Adakah saya ditahan?”
b. Sekiranya mereka berkata “Ya”, jangan menjawap apa-apa lagi soalan yang diajukan kepada anda. Adalah menjadi hak anda untuk menjawap apabila berada di mahkamah sahaja.
c. Sekiranya mereka berkata “Tidak”, anda boleh beredar pada bila-bila masa sahaja.


4. JIKA ANDA DITAHAN

a. Beritahu orang-orang yang berhampiran dengan anda
b. Sekiranya anda mempunyai telefon bimbit, telefon rakan, keluarga atau peguam anda. Sekiranya anda ditahan di kawasan diantara Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka, besar kemungkinan anda akan dibawa ke balai polis Dang Wangi (Stadium) dan balai polis Campbell. Minta kawan anda, keluarga atau peguam anda pergi ke balai polis Dang Wangi dahulu untuk mengesahkan penangkapan anda dan dimana anda berada.
c. Catatkan / ingatkan waktu anda ditahan

5. KETIKA DITAHAN, PIHAK POLIS MESTI MEMBERITAHU ANDA

a. Mengapa anda ditahan

6. SELEPAS DITAHAN

a. Pihak polis hanya boleh menahan anda didalam lokap selama 24 jam sahaja, tidak kira samada pada hari cuti am atau pada hujung minggu. Ini adalah hak PERLEMBAGAAN anda. Selepas tempoh masa 24 jam berakhir, pihak polis mesti membawa anda ke hadapan majistret untuk direman (dimana anda mesti tinggal di lokap polis bagi ‘membantu’ siasatan mereka). Jika tidak, anda akan dilepaskan samada atas jaminan (jamin mulut) atau akan didakwa di mahkamah. Sebaik sahaja didakwa, anda perlukan penjamin dan wang jaminan kecuali ianya bukan dakwaan yang berjamin

b. Anda tidak boleh membawa sebarangan barang-barang ke lokap kecuali pakaian yang sedang anda pakai ketika itu. Apabila pihak polis mengambil barang-barang anda, anda mesti menurunkan tandatangan untuknya. Sekiranya anda mempunyai wang atau kad bank / kredit, pastikan anda mengira duit anda dan pastikan polis tersebut mencatatkan jumlah yang anda ada, dan apa kad bank / kredit yang anda miliki.

c. Anda mungkin diminta memberi kenyataan 113 (kenyataan peringatan). Pegawai polis yang mengambil kenyataan tersebut mestilah membacakan hak-hak anda

7. SOAL SIASAT POLIS

a. Berhati-hatilah semasa menjawap soalan-soalan yang diajukan oleh pihak polis. Ia mungkin dalam bentuk soalan-soalan mesra yang biasa seperti cuaca, keluarga anda dsb. untuk menenangkan anda. fikir berulang kali sebelum menjawap kerana ia boleh digunakan untuk menentang anda semasa dimahkamah nanti. Ingat, kerja polis ialah memastikan mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa anda, dan bukannya untuk mempunyai perbualan yang mesra.

b. Sekiranya pihak polis meminta anda memberikan kenyataan 113, anda mesti memberikan butir-butiran anda seperti nama anda, nombor kad pengenalan dsb. dan pastikan anda tahu nama pegawai polis tersebut. Jika terdapat lain-lain soalan, kami BETUL-BETUL nasihatkan anda supaya tidak menjawapnya sehingga hari perbicaraan anda dimahkamah, dan ketika bersama-sama dengan peguam anda. Itu adalah hak anda! Apa sahaja yang anda kata, boleh digunakan untuk menentang anda ataupun rakan-rakan anda. Anda boleh menjawap semua soalan-soalan lain tersebut seperti ini:

S: adakah anda berada di Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: bagaimana anda datang ke Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: adakah ibu anda menyediakan bekalan sebelum anda keluar?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah

c. Sekiranya pegawai polis yang mengambil kenyataan anda mengancam anda secara percakapan mahupun kelakuan, anda mestilah berhenti dari memberikan kenyataan anda dengan segera. Bertenang dan beritahunya “Saya tidak boleh meneruskan kenyataan saya kerana awak telah mengancam keselamatan saya. Saya mahu ini dicatatkan kedalam kenyataan saya.” Sekiranya pegawai polis itu tidak mencatatkan bantahan anda tersebut, tunggu sehingga ke akhir kenyataan anda. Tetapi sekiranya pegawai polis tersebut masih terus mengancam anda, tinggalkan bilik tersebut dan beritahu pegawai polis yang lain dan minta ‘perlindungan’ mereka.

d. Apabila anda telah habis menjawap soalan, pegawai polis akan membenarkan anda membaca kenyataan anda tersebut. Dia akan bertanya samada anda mempunyai apa-apa yang ingin ditambah, ditukar atau dipadamkan. Inilah masanya anda membetulkan apa-apa kesilapan atau atau menambah lain-lain komen didalam kenyataan itu. Contohnya, jika anda telah diancam sewaktu soal siasat atau diserang semasa penahanan anda dsb. ini adalah satu lagi peluang untuk anda menyatakannya. Pegawai polis berkenaan mesti menaip semua itu. Anda akan diminta untuk menandatangani kenyataan anda tersebut. Baca semula dengan teliti dan tandatangan sedekat yang boleh dibawah perenggan yang terakhir, supaya tiada siapa yang boleh menokoktambahnya lagi.

8. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Direman)

a. Sekiranya anda tidak mempunyai peguam, anda mesti meminta wakil peguam. Pusat Bantuan Guaman ada menempatkan peguam-peguamnya dimahkamah bagi tujuan ini.

b. Beritahu majistret sekiranya anda ada mempunyai apa-apa rungutan seperti sekiranya anda di pukul, diancam; sekiranya anda sakit, perlukan rawatan perubatan dsb.

9. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Dakwaan)

a. Sekali lagi, anda mesti meminta wakil peguam

b. Pastikan anda mempunyai seseorang untuk menjamin anda keluar. Sekiranya anda tidak dapat menghubungi keluarga atau rakan anda, minta kebenaran dari majistret untuk membantu anda menghubungi keluarga anda. Jika tidak, anda boleh meminta bantuan peguam anda. Keluarga anda akan perlu membawa duit untuk menjamin anda keluar, yang mana mestilah dalam bentuk pembukaan akaun di bank yang terletak paling dekat dengan mahkamah tersebut. Tanya peguam anda atau majistret dimanakah letaknya bank tersebut. Tidak ada bentuk bayaran lain seperti bayaran tunai atau cek yang akan diterima oleh mahkamah.

10. SEKIRANYA ANDA DIPUKUL SEMASA DALAM TAHANAN

a. Selepas anda dibebaskan atas jaminan, pastikan anda pergi ke mana-mana klinik kerajaan atau hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Pastikan anda tahu nama doktor yang bertugas dan nombor rujukan laporan kesihatan anda supaya ia boleh digunakan dimahkamah kemudian.

b. Sekiranya anda masih dalam reman, pastikan anda memberitahu majistret yang berkenaan bahawa anda perlu pergi ke hospital atau ke klinik.

Rabu, 3 Mac 2010

DIMANA AYAHKU DIHUJUNG MINGGU?


Mungkin ini antara persoalan yang ditanya oleh anak-anak jika ayahnya tiada. Entah apa pula jawapan yang diberikan oleh ibunya. Yang pasti, ayahnya tiada di rumah untuk diajak berbual atau diadu masalah. Mungkin juga untuk mengajak ayahnya bersiar-siar atau menziarahi sanak saudara.

Bagi ajk DPP, tentunya anak-anak masih kecil dan ibunya masih muda. Banyak kehendak yang perlu diberi layanan sebaiknya. Bersetuju atau tidak, hati mereka perlu diberi kefahaman akan tanggungjawab dan amanah perjuangan.

Emosi perasaan mereka perlu disemai dengan iltizam berjemaah. Sememangnya, inilah antara ujian yang perlu dihadapi oleh semua pejuang. Antara perjuangan dan keluarga. Sebelum ini istilah pengorbanan hanya satu ungkapan ketika pertemuan usrah ketika belajar dulu-dulu. Tapi kini ia berada dihadapan mata dan hati.

Kalau dulu, kita selalu mendengar pimpinan pelajar melaungkan MEHNAH DAN TRIBULASI DALAM PERJUANGAN, tapi di mana mereka hari ini? Masih sibuk dengan urusan kerja dan keluarga?

Entahlah, sukar untuk memberikan jawapan bagi pihak orang lain. ALHAMDULILLAH, Allah masih memilih kita diantara hamba-hambanya yang memperjuangkan agamaNya. Moga tidak dialihkan hati ini kepada kesibukan dunia dan isinya.

Mungkin kalau kita tanya akal, tentu kita mesti pentingkan keluarga. Namun Iman memberikan jawapan sebaliknya. WALLAHU A'LAM.

up : Kami dedikasikan lagu ini buat semua isteri dan anak-anak ajk DPPT dan para pejuang.

">SENANDUNG ANAK PEJUANG

Pada Kelembutan Seraut Senyuman
Pada Kelunakan Tutur Perkataan
Ada Terlukis Warna Kerinduan
Tarkenang ayah jauh di rantauan

Ayah selalu menghilang diri
Tinggalkan ibu mengbilang hari
Terkadang tiada khabar berita
Namun ibu tak pernah berduka
---------------------------------------
Sesekali hati rasa cemburu
Melihat teman semuanya berayah
Bermanja bermesra kasih berpadu
Hidup gembira tiada gundah

Tidak tertahan menanggung rasa
Kepada ibu segera bertanya
Ke manakah ayah sekian lama
Hingga kini belum menjelma

Ibu tersenyum di dalam sayu
Senyumnya pudah tiada indah
Mungkin batinnya berlagu sendu
Bila anak rindukan ayah

Nada memujuk ibu menjawab
Tuturnya lembut penuh hikmah
Ayah pergi ke medan jihad
Mencegah mungkar menegakkan yang hak
---------------------------------------------
Oh Ayahku, seorang pejuang rupanya
Aku rasa bertuah, takkan ku kesali takdir ini
Suatu hari nanti, bumi Allah ini akan bersih jua
Dari najis, mungkar dan dosa
Ayah tentu gembira, ayah tentu bersyukur
Oh ibu, biarkan ayah pergi
Jangan bekalkan ia dengan airmata, tapi dengan doa penuh jiwa
Ayah, akan ku jejaki setiap tapak langkahmu
Aku anak ayah, anak pejuang

Selasa, 2 Mac 2010

KELIRU @ MENIRU


Oleh: PaipPecah

Terima kasih kepada TG Presiden PAS di atas Lawatan Kerja ke Negeri Pahang pada 26 & 27 Feb 2010 yang lalu. Sememangnya kedatangan TG amat dinantikan untuk kami mendengar sendiri penjelasan berhubung isu terkini terutama keputusan JK Displin.

Pelancaran Gerak Tarbiah Peringkat Negeri Pahang di sebelah pagi dan Taklimat Khas Presiden di sebelah petang cukup melapangkan dada yang sebelum ini agak senak dengan pelbagai kenyataan dan pandangan.

Saya sebenarnya berhasrat untuk bertanya ketika sesi soaljawab selepas pembentangan kertas 2 oleh TG, tapi pengerusi pulak tidak memberi ruang untuk itu. Soalan saya boleh diibaratkan soalan 'orang baru hari ini kenal PAS' jika nak dibandingkan pejuang2 yang telah lama mendokong parti dan jemaah.

Sebagai anak muda yang mengenali PAS melalui usrah dan tarbiah, kita selalu ditekankan aspek adab-adab berjemaah. Wala' kepada keputusan jemaah, patuh kepada arahan pimpinan, berlapang dada dengan teguran, berkorban, berjihad dan sebagainya.

Persoalannya, adakah tiada ruang langsung untuk teguran terhadap pimpinan? Jawapan mudahnya, ADA TAPI KENA IKUT SALURAN. Masalahnya diperkatakan, saluran tersebut TERTAPIS dan TERSUMBAT. Maka kebusukannya tersebar kepada masyarakat dan rakyat.

Sejarah membuktikan khalifah Umar RA pernah diberi amaran oleh wanita tua dengan pedang. Hari ini pimpinan kita hanya ditegur dan dikritik melalui BLOG, itupun ditegah. Apakah pimpinan tidak mahu berlapang dada dengan kritikan?

Kepada mereka yang gemar mengkritik pula, saya cadangkan bersuaralah anda ketika Muktamar nanti. Kritiklah dihadapan Presiden dengan jelas, kerana wanita tua tadi berdepan dengan Saydina Umar RA.

Blog juga bagi saya adalah salah satu cara menyampaikan maklumat dan dakwah. Usahlah kita gunakannya untuk menegakkan hujah kita selepas pimpinan menolaknya. Seolah-olah mafhumnya, kita lebih tahu dan lebih betul dari keputusan jemaah. Pandangan kita lebih tepat dari keputusan jemaah.

Satu lagi, adakah tidak ada lagi sifat-sifat yang telah ditanam ketika usrah? Dimana sifat tersebut? Malangnya, ada naqib usrah yang lantang mempertikaikannya. Cukup kecewa jika para nuqaba' telah hilang apa yang mereka tekankan selama ini.

Sememangnya, bukan mudah mempraktikkan apa yang kita sendiri ucapkan. Kalau dulu, Naqib memberitahu BERKORBANLAH, Sesunguhnya pengorbanan paling besar ialah pengorbanan perasaan. Berlapang dada jika cadangan dan pendirian kita tidak diterima.

Nah, hari ini naqib itu juga seolah-olah terlupa dengan apa yang diucapkan. Sebagai anak muda tentu kami keliru dengan dua keadaan ini. Pandangan mana yang lebih baik dan perlu kami ikut? Atau ini membuktikan bahawa Pimpinan PAS tidak punya Wahdatul Fikri?

Namun Alhamdulillah, segala kekeliruan telah terjawab apabila saya keluar dari KIAS. Puas hati kerana semua penjelasan berasaskan hujah ayat-ayat cinta, Al-Quran & Hadis serta sirah Nabi dan para sahabat.

Kepada mereka yang tidak mendengarnya, usahlah MENIRU hujah orang lain, binalah asas kekuatan diri. Terkadang saya terfikir dalam isu ini, lebih baik KELIRU dari MENIRU!

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT