Selasa, 19 Mei 2009

MARA oh MARA !


Tengah sibuk pagi tadi, kawan dihubungi 'orang rumah' perihal masalah bayaran semula pinjaman MARA yang dipinjamnya sewaktu belajar dulu. Bukan tak pernah bayar, cuma tunggakannya dah mencecah 6k.

Jika tidak dijelaskan dalam tempoh 6 bulan, maka 'orang rumah' koi akan diisytiharkan MUFLIS! Argghhh! Kurang ikan pekasam betuiii! Dulu kata MARA nak tolong Melayu, bayar RM50 sebulan pun ok.

Tapi itu semua bohong. Wakil MARA yang dihubungi memberitahu, bayaran RM50 dah tak relevan lagi. Paling kurang RM150. Mana kawan nak cekau duit banyak tu? MARA hari ini dah jadi macam ALONG. Dulu tolong sekarang Along, tajuk buku berkaitan Felda yang pernah aku baca.

Kalau along, lambat bayar, conteng nama kat rumah dan bangunan. lambat lagi bayar, isytihar kena bunuh. Saling tak tumpah dengan MARA hari ini. Lambat bayar, siar nama dalam akhbar. Lambat lagi bayar, isytihar Muflis!

Kawan bukan tak bayar. Dah banyak ribu kawan bayar, walaupun RM50 sebulan. Bayar tetap bayar. Nak bayar jumlah lebih dari itu, agak susah. Gaji kawan 1k lebih sikit. 'orang rumah' kawan pun gajinya 1k lebih sikit. Anak 2 orang sekolah. sewa rumah, makan minum, pinjaman bank, bulanan kereta dan macam-macam lagi, sama dengan orang lain.

Sebenarnya, kawan ni tak cukup duit aje, mengkalau belambak, sebelum subuh koi bank-in 6k kepada MARA. Mungkin kawan selamat dalam tempoh 6 bulan ni, tapi camana jika selepas 6 bulan?

Kawan bercerita ni bukan nak beritahu susahnya hidup kawan. Jauh sekali nak minta simpati. Kawan bersyukur sekurang-kurangnya, kawan dan 'orang rumah' sedang bekerja. Bagaimana yang masih belum bekerja? atau bekerja dalam keadaan gaji/elaun yang terlalu sedikit jumlahnya.

Bagaimana kehidupan mereka dan anak-anak mereka. Kawan ni alhamdulillah, mungkin ada adik beradik dan sahabat yang sudi menolong jika keadaan dah melebihi paras hidung. Mungkin keadaan ini yang menyebabkan ramai ambil jalan singkat. Berlaku rompak, samun, ragut dan sebagainya. Tidak kurang pula guna cara khurafat dan syirik. Apatah lagi ambil jalan mudah, berhutang dengan along.

MARA, ingatlah. Jika Mara gagal melahirkan modal insan terpilih, usahlah mencipta insan rugi lagi muflis.




MAHKAMAH TINGGI : SULTAN TIDAK BOLEH PECAT MB


Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari jawatannya kerana beliau (menteri besar) tidak memegang jawatan itu atas perkenan baginda.

Ini keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu, bila beliau mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.

Dalam penghakiman 78-muka yang dikeluarkan kepada media hari ini, Abdul Aziz berkata sebaik saja menteri besar dilantik, beliau dan majlis exconya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tiada siapa lain.

Beliau berkata ini menurut fasal (2), (5), (6) dan (7) Artikel 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, lapor Bernama.

"Sebaik saja menteri besar dilantik, menteri besar mentadbir negeri menerusi Majlis Eksekutif dan menasihatkan Sultan mengenai hal ehwal negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Artikel 18 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Hakim Abdul Aziz berkata Sultan bertindak atas nasihat kecuali dalam perkara di mana Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan bahawa Baginda boleh bertindak atas budibicara baginda semata-mata.

Beliau berkata berdasarkan peruntukan dalam Artikel 16, ia mensyaratkan bahawa dewan undangan adalah pihak yang menentukan sama ada ia menaruh keyakinan terhadap menteri besar selaku ketua majlis eksekutif menerusi undi tidak percaya terhadap menteri besar.

"Saya berpendapat bahawa pemecatan menteri besar oleh Baginda atau oleh sesiapa lain tidak sekali-kali dipertimbangkan di bawah Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak," katanya.

Beliau berkata fasal 7 Artikel 16 undang-undang tubuh itu memperuntukkan bahawa kecuali menteri besar, anggota-anggota lain Majlis Eksekutif memegang jawatan atas perkenan Sultan dan mereka (anggota eksekutif) boleh dipecat dari jawatan oleh Sultan yang bertindak atas nasihat menteri besar.

Abdul Aziz berkata Sultan Perak telah menemui dan menginterbiu tiga anggota dewan negeri yang menjadi anggota bebas dan seorang lagi anggota dewan yang sebelumnya keluar dari Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian menyertai semula parti itu dan mereka memberitahu Sultan tentang sokongan mereka kepada BN secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata, walaupun menerusi pertanyaan Sultan, Baginda berpendapat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendapat sokongan majoriti anggota dewan undangan negeri, ini tidak bermakna Baginda boleh membuat keputusan bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti dewan berkenaan.

Beliau berkata pendapat peribadi atau keputusan Sultan tidak relevan kepada maksud Artikel 16 (6) yang memperuntukkan bahawa "jika menteri besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan, maka, kecuali atas permintaannya, Baginda membubarkan dewan, beliau dikehendaki mengemukakan peletakan jawatan majlis eksekutif".

Abdul Aziz mendengar prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh Nizar, 52, memohon writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk memberi sebab atas asas apa atau kuasa apa beliau adalah menteri besar yang sah.

Abdul Aziz kemudian mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar yang sah selepas memutuskan bahawa beliau (Nizar) tidak pernah melepaskan jawatan menteri besar oleh kerana beliau tidak kehilangan keyakinan majoriti dewan undangan negeri.

Nizar, dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam plihanraya umum ke-12.

Kedua-dua pihak, bagaimanapun, mempunyai 28 kerusi masing-masing, selepas tiga anggota dewan dari pakatan itu keluar parti untuk menjadi anggota bebas dan yang keempat melompat semula dari PKR kepada Umno.

Sultan kemudian meminta Nizar meletak jawatan menteri besar dan Zambry mengangkat sumpah selepas mengisytiharkan bahawa BN mempunyai majoriti di dewan undangan negeri.

Mahkamah Rayuan, pada 12 Mei, membenarkan perintah penangguhan keputusan itu kepada Zambry dan menetapkan Khamis ini untuk mendengar bersama permohonan Nizar mengetepikan perintah penangguhan.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz juga berkata beliau tidak meragui bahawa Sultan mempunyai budibicara mutlak berhubung pelantikan menteri besar dan tidak memperkenan permintaan bagi pembubaran dewan undangan negeri.

"Saya tidak pernah meragui tentang pelaksanaan prerogatif diraja untuk melantik seorang menteri besar mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak semata-mata berdasarkan pendapat peribadi Baginda.

"Dan bahawa Baginda boleh memilih apa carapun bagi memuaskan hati dan membuat keputusan sewajarnya tentang siapa yang mendapat keyakinan majoriti dewan undangan negeri hingga beliau boleh dilantik sebagai menteri besar untuk memimpin majlis eksekutif," katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata perkara yang sama tidak boleh dilakukan berhubung Artikel 16 (6) dalam memutuskan sama ada menteri besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan.


ISLAM TIDAK MENANG, KENAPA?


Semua pejuang Islam mahukan kemenangan islam. kemenangan yang membawa Islam menjadi agama tertinggi. Kalimah Allah yang paling tinggi, itulah hakikat kemenangan islam.

Apakan daya, islam jatuh. Jatuhnya islam bukan kerana islam itu agama yang kolot, tetapi jatuhnya islam kerana ramai penganut-penganutnya berfikiran kolot.

Pemikiran mereka tiada unsur pencerahan. Mereka berfikir didalam kotak yang pelbagai. Tidak kira apa nama pun kotak tersebut. Ada kotak dinamakan parti, ada kotak dinamakan jemaah, ada kotak dinamakan sentiment, ada kotak dinamakan team dan berbagai-bagai lagi.

Pemikiran Umat Islam tidak seperti pemikiran golongan pencerahan dari kalangan islam, seperti pemikiran Ibnu Rushd, Ibnu Sina, Al-Biruni dan sebagainya.

Lihatlah cara pemikiran islam yang dibawa oleh nabi SAW. Islam cara Nabi, tidak dibataskan kepada “kotak arab” sahaja, bahkan sebarang perkara yang datang daripada selain “kotak arab”, itu tidak ditolak selagimana ia tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah secara qatii.

Justeru itulah, dapat dilihat bagaimana Islam berjaya diterima oleh pelbagai bangsa yang tidak arab. Melayu bisa menjadi islam, cina menjadi islam, India menjadi islam, iran menjadi islam, spanyol menjadi islam dan seterusnya.

Kedatangan Islam, bukan dalam usaha menjadikan bangsa lain menjadi arab, tetapi kedatangan islam, menjadi panduan kepada bangsa-bangsa agar hidup mereka mencapai matlamat bahagia di dunia dan akhirat.

Lihatlah bagaimana Islam masuk ke dalam alam melayu. Disebabkan itulah, kita akan dapat lihat bagaimana baju melayu yang tidak pernah disarungkan oleh Nabi SAW menjadi pakaian Islam. baju kurung yang tidak pernah dipakai oleh para sahabiyyah di zaman Nabi, menjadi pakaian yang amat sinonim dengan islam.

Jelasnya, Islam hadir bukan menghapuskan bangsa, tetapi memandu bangsa agar tidak tersasar dari melanggar undang-undang karma dan fitrah manusiawi.

LEMAHNYA DIMANA??

Jika merujuk kepada hadis, kita akan dapati nabi SAW menyebut, segala kelemahan berpunca apabila tidak adanya kerajaan Islam.

Sabda Nabi SAW;

لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ

Maksudnya;
“simpulan Islam akan terungkai satu persatu. Apabila terungkai satu, pasti akan terungkailah yang lainnya. Perkara pertama yang terungkai adalah pemerintahan, dan perkara yang terakhir terungkai adalah solat[1]”

Jelasnya, semenjak kejatuhan kerajaan Islam, bermakna bermulalah kejatuhan tamadun Islam. apabila jatuh tamadun islam, maka musuh Islam mengambil ruang.

Persoalannya, bagaimana jatuhnya kerajaan islam? jika dihayati dan dikaji, kita akan dapati, semuanya bermula apabila pemerintah sudah lalai dari meletakkan kepentingan rakyatnya. Kepentingan peribadi diutamakan berbanding rakyat. Islam dibacarakan tanpa perlaksanaan.

Menyedihkan lagi, para ulama sudah tidak berfungsi dalam menyatakan kebenaran. Segala kesilapan pemerintah, akan difikirkan ”nas” untuk dihalalkan.

Ulama hanya mengkritik pemerintah yang tidak sehaluan dengan ”geng” mereka, tetapi jika kesalahan yang sama dibuat oleh pemerintah dari ”geng mereka”, maka itu tidak perlu dikritik, malah hendaklah dicarikan nas demi menghalalkannya.

Keadaan ini dilihat oleh rakyat. Mereka melihat dengan begitu sedih, ditambahi dengan perasaan dendam mereka terhadap pemerintah sebegitu rakus, ditambahi fungsi ulama yang sebenar semakin pupus.

Apabila pemerintah sudah bertindak seperti kapitalis, maka rakyat mula bertindak seperti sosialis. Mereka bangkit, membantah seterusnya menyanggah pemerintah. Istilah lawan akan terus berkemundang disisi rakyat, demi melihat pemerintah islam yang berfikiran kapitalis jatuh.

Inilah kemelut yang telah menimpa umat, menyebabkan jatuhnya pemerintahan Sultan Abdul Hamid yang dinamakan pemerintahan Khalifah Osmaniyyah, maka naiklah mustafa Kamal Art-tarturk sebagai pilihan hati rakyat.

Apakah rakyat perlu dipersalahkan? Mungkin jawapan kita adalah ”ya”, tetapi jangan lupa disalahkan kepada pemerintah yang hanya pandai mendesak rakyat memberi ketaatan dan wala’, tetapi dalam masa yang sama pemerintah lupa membina siqah atau kradibaliti diri, demi melihat rakyat secara telus memberikan komitmen atau wala’ yang tidak berbelah bagi terhadap pemerintah.

Ya !!! memang ramai ”ketua-ketua” mendesak orang bawahan memberi komitment dan wala’, tetapi ketua-ketua tersebut lupa, mereka sendiri tidak ada siqah dan kredibaliti untuk rakyat respek kepada mereka, seterusnya memberikan komitment dan wala’ yang diharapkan.

Jika dirujuk kepada Nabi SAW, baginda tidak pernah mengemukakan ”idea-idea bodoh” sehingga menjatuhkan kredibaliti atau kesiqahan dan reputasi diri. Apabila ”idea-idea bernas” dikemukakan, menyebabkan baginda SAW dikagumi kawan dan lawan.

Kekaguman itulah, menyebabkan kredibaliti dan kesiqahan nabi naik seperti kelajuan roket apollo. Seterusnya, kebangsatan musuh jatuh menghina.

JUMUD

Umat Islam masih lagi dengan pemikiran jumud. Al-Quran yang bersifat universal, dilalaikan kandungan maqasidnya. Menyebabkan, islam yang dikemukakan bersifat tekstual semata-mata.

Jika eropah pada abad ke 8 hingga abad ke 11 jatuh dengan sebab pemikiran jumud para ahli gereja. Keadaan yang agak sama juga berlaku kepada umat Islam kini, apabila tafsiran terhadap Al-Quran telah dilalaikan maqasidnya.

Sebilangan besar umat Islam meletakkan satu tanggapan, apa yang dibuat oleh barat semuanya adalah salah, walaupun ada kebenaran disebalik tuduhan salah tersebut.

Nabi SAW tidak pernah menafikan kebaikan yang dilakukan oleh pihak selain Islam. ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW menerima cara peperngan Majusi yang menggali parit dalam peperangan khandak. Baginda menerima guru-guru dari kalangan orang kafir yang mengajar anak-anak Islam menulis dan membaca.

Bukankah islam menyebut, semua kebijaksanaan itu adalah barang keciciran kepunyaan umat Islam. tetapi, sedihnya umat Islam tidak mahu mengutip khazanah mereka sendiri.

Bukan umat Islam tidak kenal dengan tokoh yang bernama Ibnu Rushd, Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Biruni, Al-Khawarizmi dan sebagainya. bahkan, nama-nama mereka masih terpahat dalam pemikiran umat Islam. tetapi sedihnya, cara pemikiran para profesional Islam ini diabaikan.

Ibnu Rushd sebagai contoh. Walaupun beliau seorang yang berkemahiran dalam bidang falsafah Islam, tetapi jangan dilupai, beliau mendapat jolokan ”plato umat Islam”.

Mengapa jolokan itu diberi? Kerana, beliau telah mengolah pemikiran falsafah Plato yang bukan dari Islam, sehingga menjadi satu manhaj falsafah yang berasaskan kepada Islam. kehebatan dalam manhaj falsafah Ibnu Rushd, menjadi bahan kekaguman dunia sehinggakan dicontohi oleh semua tamadun dunia kini.

SENTIMEN

Umat Islam mula dilalaikan dengan istilah-istilah yang sempit. Mereka didoktrinkan semangat kedaerahan, semangat kepartian, semangat kejamaahan, semangat kefikrahan dan banyak lagi semangat-semangat yang kadangkala ia merupakan antara punca Islam itu tidak berjaya didaulatkan.

Kita dapat lihat, bagaimana perlantikan sesuatu jawatan bukan lagi atas dasar kelayakan, tetapi atas dasar sentimen. Si A adalah kawan aku, maka dia wajar dilantik. Si B bukan kawan aku, maka ia tidak boleh dilantik.

Maka terlantikan si A beralasan kawan, sedangkan sudah terbukti ”kelemahan si A” dalam gerakkerja. Jika kritikan dilakukan terhadap si A, maka lahirnya istilah tempelan demi menyelamatkan si A yang merupakan kawan.

Si B yang pandai dalam gerakkerja, dinafikan haknya. Dituduh anti Islam, anti agama, anti agamawan dan banyak lagi tempelan negatif yang diberikan, semuanya beralasan kerana Si B bukan dari team aku.

Bukankah satu tindakan yang bodoh, jika kemahiran antara dua pihak ini tidak dimanfaatkan. Mengapa tidak ditoleransikan antara dua pihak ini, agar bersama-sama berusaha dalam memenangkan islam.

Tapi apakan daya, semangat ke”team”an ini sudah membeku. Apabila sudah membeku, maka lahirlah pemikiran jumud. Apabila lahir pemikiran jumud, maka lambatlah kemenangan islam akan tercapai.

Apabila direnung secara mendalam, patut pun Nabi SAW mengharamkan Assobiyyah. Rupa-rupanya, ia adalah punca penting Islam tidak berjaya ditegakkan dengan jayanya.

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT