Selasa, 26 Oktober 2010

Fathul Bari : Kenapa Ilmu Tidak Sehebat Namamu?


Kenyataan Rasmi Ulamak Pelapis PAS:
Isu IFF dan Kedangkalan Ilmu Ulama Muda UMNO

Ulamak Pelapis PAS melahirkan kekesalan apabila tindakan Datin Seri Rosmah Mansur yang menghadiri Festival Busana Islam (IFF) didokong dan dibela oleh saudara Fathul Bari bin Mat Jahya.

Ulamak Pelapis PAS kesal apabila tindakan rakyat yang bangkit berdemonstrasi dalam membantah penglibatan Datin Seri Rosmah Mansur Festival Busana Islam (IFF) turut dikecam dan dianggap sebagai tersasar daripada konsep Islam.

Bagi Ulamak Pelapis PAS, tindakan saudara Fathul Bari bin Mat Jahya yang membela kesilapan Datin Seri Rosmah Mansur mencalarkan imejnya sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam.



Hujah Bahawa Datin Seri Rosmah Mansur Hanya Penaung Bukan Penganjur

Fathul Bari bin Mat Jahya mempertikaikan sikap PAS yang dianggap salah kerana menurut beliau, Datin Seri Rosmah Mansur bukanlah penganjur sebaliknya hanyalah penaung kepada majlis IFF tersebut.

Namun bagi Ulamak Pelapis PAS, Fathul Bari selaku seorang yang berpendidikan agama sepatutnya jelas mengenai sikap yang perlu diambil oleh seseorang muslim apabila terlibat dengan program-program maksiat sebagaimana yang telah berlaku dalam IFF.


(Prime Minister Datuk Seri Najib Razak (left) and his wife, Datin Seri Rosmah Mansor, speaking with Prince Albert II of Monaco at the International Islamic Fashion Festival. — Reuters picture)

Pakaian menjolok mata dengan tidak mengendahkan arahan Allah agar wanita muslimah menutup aurat ditambah dengan penghinaan nama Nabi Muhammad yang ditulis secara terbalik dan ditonjolkan di bahagian dada wanita yang memperagakan fesyen tersebut sangat jelas untuk dihukumkan sebagai satu majlis maksiat dan menghina Islam.

Menerusi firman Allah Taala di dalam Surah al-Nisa' ayat 140, Allah menegaskan larangan untuk orang Islam bersama-sama di dalam majlis yang menghina ayat-ayat Allah. Umat Islam disuruh untuk menegur maksiat yang berlaku di dalam mana-mana majlis. Sekiranya mereka tidak mempunyai kemampuan, maka mereka wajib untuk meninggalkan majlis maksiat kerana kebersamaan di dalam majlis berunsur maksiat adalah satu maksiat. Ini jelas terpampang dalam kenyataan para ulama tafsir sewaktu mereka menghuraikan ayat 140 daripada Surah al-Nisa'.

Adakah boleh diterima secara waras bahawa Datin Seri Rosmah Mansur selaku seorang muslimah sebenarnya tidak mengetahui bahawa majlis seperti itu adalah satu majlis maksiat? Adakah beliau boleh dianggap sebagai seorang yang tidak mengetahui sama sekali bahawa pakaian-pakaian yang dipamerkan dalam majlis tersebut adalah pakaian yang menyongsang daripada kehendak agama Islam?

Ulamak Pelapis PAS beranggapan bahawa Datin Seri Rosmah Mansur menyedari bahawa IFF adalah bercanggah dengan tuntutan Islam yang sebenar. Sekiranya Fathul Bari beranggapan sebaliknya, ini bermakna Datin Seri Rosmah Mansur begitu sangat jahil dalam memahami kehendak Islam dan ini adalah sangat-sangat malang sekiranya berlaku kepada seorang wanita Islam apatah lagi kepada isteri kepada seorang Perdana Menteri.

Sekiranya Fathul Bari mempertikaikan PAS kerana menyelar keterlibatan Datin Seri Rosmah Mansur dalam satu program maksiat, maka Ulamak Pelapis PAS ingin bertanya di manakah suara orang-orang berpendidikan Islam di dalam UMNO seperti Fathul Bari dalam membantras maksiat sebagaimana yang berlaku dalam IFF dan konsert Adam Lambert yang diizinkan oleh kerajaan UMNO untuk dibuat di Malaysia? Ulamak Pelapis PAS kesal dengan sikap orang-orang berpendidikan agama di dalam UMNO yang membisu dalam membantras gejala maksiat di dalam negara sebaliknya begitu lantang mengecap tindakan rakyat yang bangkit menyuarakan isi hati mereka yang tidak berpuas hati apabila agama dipersenda.

Hujah Bahawa Nasihat Kepada Pemimpin Tidak Boleh Secara Terang-Terangan

Ulamak Pelapis PAS ingin menjelaskan kepada umum bahawa para ulama Islam telah menyatakan bahawa apabila maksiat yang dibuat secara terang-terangan, maka tidak menjadi satu kesalahan untuk umat Islam memprotes maksiat tersebut secara terang-terangan.

Sekalipun ada hadith Rasulullah yang meminta supaya nasihat diberikan secara senyap-senyap dan bukan secara terang-terangan, hadith ini sebenarnya ditujukan kepada kesilapan yang dibuat secara senyap-senyap. Ini kerana apabila seseorang itu melakukan dosa dan maksiat secara sembunyi-sembunyi tanpa diketahui oleh orang lain, maka orang yang mengetahui kesalahan tersebut tidak boleh sama sekali menghebahkan kesilapan si pelaku kerana Islam meminta umatnya agar menutup keaiban manusia.

Namun sekiranya dosa dan maksiat yang dilakukan adalah secara terang-terangan sebagaimana yang berlaku dalam majlis IFF, maka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan perlanggaran Syariat yang berlaku adalah dibolehkan oleh Islam agar umat Islam mengetahui bahawa majlis yang dibuat secara terbuka tersebut adalah bercanggah dengan Islam.

Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan enam keadaan yang mana seseorang itu dibenarkan oleh Islam untuk mengumpat dan menyatakan kejahatan atau keburukan orang lain:

Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah ataupun pihak yang berautoriti agar kezaliman dapat dibanteras.

Perbuatan mengumpat dan mendedahkan kesalahan adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran: "Si Fulan melakukan kemungkaran. Maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.

Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.

Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya secara terang-terangan. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat tentang kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang.

Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.



Sejarah Islam Bukti Bahawa Kesalahan Pemimpin Yang Dibuat Secara Terangan Ditegur Secara Terangan

Sejarah Islam sendiri telahpun mendedahkan kepada kita berkenaan dengan sikap umat Islam dahulu yang berani menyatakan kesilapan para pemerintah secara terang-terangan sekalipun mereka diancam dengan kematian.

Apabila Marwan bin al-Hakam yang merupakan pemerintah Bani Umayyah ketika itu cuba untuk membaca khutbah terlebih dahulu sebelum solat hari raya, tindakan beliau telah ditegur secara terang-terangan oleh seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abu Said al-Khudri.

Apabila Marwan bin Hakam tetap mahu berkhutbah dahulu sebelum solat hari raya, Abu Said al-Khudri telah merentap baju pemerintah tersebut agar dia tidak meneruskan niatnya untuk membaca khutbah sebelum solat. Dalam masa yang sama, seorang lelaki lain yang turut berada di situ telah menegur Marwan secara keras dengan berkata:

"Wahai Marwan. Engkau telah menyalahi Sunnah Nabi. Engkau telah mengeluarkan mimbar pada hari raya sedangkan sebelum ini mimbar tidak pernah dikeluarkan pada hari raya. Engkau telah mulakan dengan khutbah sebelum solat hari raya".

Lantas Abu Said al-Khudri bertanya kepada orang ramai siapakah lelaki berkenaan. Selepas mana hadirin memberi tahu nama lelaki tersebut kepada Abu Said al-Khudri, Abu Said telah berkata:

Adapun orang ini, dia telahpun menunaikan kewajipannya. Saya telah mendengar Rasulullah bersabda:

"Sesiapa yang melihat kemungkaran dan dia mampu untuk mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah Iman".

(Lihat kisah ini dalam Sahih Muslim: Hadith ke-9 daripada Kitab Solat al-`Idayn. Lihat juga Sunan Abi Daud Kitab al-Solat Bab al-Khutbah Yawm al-`Id).

Antara contoh lain adalah Sultan al-`Ulama Izzuddin bin Abd al-Salam dan Ibnu al-Hajib al-Maliki. Dua tokoh ulama kurun ke-6 ini begitu berani mendedahkan kesilapan Raja Syria ketika itu di atas pentas mimbar Jumaat. Mereka berdua begitu lantang dalam khutbah mereka mendedahkan kepada umum berkenaan dengan dosa Raja Syria yang bersubahat dengan tentera Salib dalam menyerang Mesir sehingga raja tersebut tergamak membenarkan tentera Salib masuk ke kota Damsyik bagi tujuan membeli peralatan senjata daripada umat Islam. Al-Imam Izzuddin yang merupakan ulama besar dalam mazhab Syafi`e akhirnya telah dibuang negeri dan beliau akhirnya berhijrah ke Mesir dan tinggal di sana sehingga beliau meninggal dunia.

Ini adalah beberapa contoh kecil yang ada di dalam lipatan sejarah Islam. Maka apabila tindakan PAS mendedahkan kepada umum tentang kesilapan para pemimpin UMNO dipertikai oleh Fathul Bari, Ulamak Pelapis PAS sebenarnya sangsi dengan tahap keilmuan Islam yang dimiliki oleh beliau. Adakah Fathul Bari tidak pernah mengetahui perbahasan seperti ini ataupun beliau sebenarnya sengaja menidakkan fakta ini demi menjaga kepentingan peribadi beliau di dalam UMNO.

Ulamak Pelapis PAS meminta agar orang-orang yang berpendidikan agama di dalam UMNO menginsafi dan bertaubat kepada Allah S.W.T. serta bersikap tidak mengkhianati ilmu Islam yang dipelajari hanya semata-mata kepentingan keduniaan.

LAJNAH KEAHLIAN DAN ULAMAK PELAPIS
Dewan Ulamak PAS Pusat
Kuala Lumpur

Khamis, 14 Oktober 2010

Lagi Sekitar Karnival Belia Muslim

SPR membuka kaunter pendaftaran pemilih baru

PDRM mempamerkan jenis-jenis ganja dan dadah merbahaya

Terima kasih Dr. Nordin di atas ceramah kesihatan berkaitan Akibat Zina

Nisa' Temerloh dengan Motivasi Remaja Kenali Diri 'No Couple'

Abg Polis 'still cool' walau diasak ketika cabutan bertuah

Pertunjukan Seni Silat Sendeng Dua Beradik Asli Temerloh, Songsang

Persembahan nasyid dari anak-anak PASTI Aqliah, Paya Pulai

Persembahan nasyid dari adik-adik KAFFAH Aqliah, Paya Pulai

Persembahan nasyid dari adik-adik Alumni PASTI Al-Haq, Bukit Bendera

Cg. Kamarudin sedang mengawasi anak-anak yang cuba 'meniru' corak warna anaknya

Terima kasih Abg JPA3 kerana sudi hadir. Bomba menarik diri 'last minute'

Antara para usahawan yang bakal berjaya suatu hari nanti

Terima kasih para usahawan yang berjaya menghidupkan suasana

Tahniah atas kejayaan menconteng gambar gajah dengan pensil warna biru

Eh, adik non-muslim pun hadir? terima kasih...

Selasa, 12 Oktober 2010

Jangan Percaya Rayuan Presiden umNO


Parti Islam Se-Malaysia PAS menyeru rakyat Malaysia jangan terima rayuan Datuk Seri Najib Razak supaya rakyat member mandat kepada Umno BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Beliau mengajak rakyat berkongsi impiannya untuk menjadikan Malaysia negara kelas pertama bertaraf dunia pada abad ke-21.

Katanya lagi kerajaan serius dengan inisiatif transformasi seperti Model Baru Ekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 dan semua ini tidak berguna tanpa mendapat sokongan rakyat.

PAS menyeru rakyat menggembelingkan tenaga untuk menolak kerajaan Umno BN, kerana sudah cukuplah setengah abad, kehidupan rakyat semakin tenat dengan tekanan hidup yang memuncak. Indeks pengguna semakin menekan rakyat terutama, yang berpendapatan rendah.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan Umno BN jujur dan amanah dalam mentadbir negara. Pemimpin Umno BN pada hari ini merasa tidak berdosa dengan pengkhianatan amanah yang diberikan kepada mereka. Sepatutnya pemimpin Umno BN merasa malu kenapa negara jiran seperti Singapura walaupun tidak mempunyai khazanah alam tetapi mampu memacu ekonomi setaraf dengan negara maju.

Rakyat perlu bangkit menolak BN untuk membentuk kuasa politik baru dengan meninggalkan kerajaan yang ada pada hari ini. Sukar untuk mengubat penyakit misteri yang tidak boleh dikesan dengan x-ray, penyakit ini hanya dapat diketahui apabila kerajaan BN jatuh. Pengalaman kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang apabila bertukar kerajaan baru kita mengetahui banyaknya” jerangkap samar” yang ditanam dalam pentadbiran BN selama ini.

Kelantan yang telah lama memerintah sejak 1990 terpaksa membuang jerangkap samar secara berdikit-dikit seperti hutang yang ditinggal sebanyak RM740 juta. Alhamdulillah dengan berkat kebijaksanaan dan ketelusan hutang lapok yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno dapat diselesaikan sikit demi sedikit. Begitu juga dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru mengambil alih telah menjumpai terowong yang tersembunyi sewaktu 51 tahun memerintah, sekarang cuba untuk menutup kembali.

Rakyat sudah mual dengan janji dan slogan pemimpin Umno BN untuk membela rakyat, tetapi dari segi amalannya tidak berlaku. Malahan kesusahan rakyat iniah yang dieskploit untuk memancing undi. Tambahan pula dengan Perdana Menteri pada hari ini yang kaya dengan slogan yang retorik tetapi, keberhasilannya tidak ada.

Rakyat tidak boleh menerima dengan tindakan Perdana Menteri hari ini dalam menyelesaikan tanah Keretaapi Tanah Melayu yang diberi kepada Singapura seluas 217 hektar dan menyerahkan telaga minyak RM320 bilion blok L dan M kepada Brunei dalam sekelip mata. Orang mula membandingkan dengan kepimpinan Tun Abdulllah Ahmad Badwi walaupun nampak lembut tetapi sekurang-kurangnya sewaktu hendak menyerahkan Pulau Batu Putih beliau tidaklah menyerah selepas makan buah durian sahaja.

Sekurang-kurangnya ada juga usaha membawa kes ini ke Mahkamah Antarabangsa, walaupun terpaksa berbelanja berjuta-juta ringgit untuk mempertahankan maruah negara. Kenapa perkara ini tidak dilakukan oleh Datuk Seri Najib, hanya Allah dan beliau sahaja yang mengetahui.

Isnin, 11 Oktober 2010

KARNIVAL B`MUSLIM

Akademi Belia Muslim Cemerlang (B`Muslim) mengadakan karnival Di Dataran Taman Temerloh Jaya pada 09.10.2010 dari 8.00 pagi hingga 11.30 mlm yang di mula dengan Pertandingan Mewarna Kanak- kanak(Pra Sek/Sek Ren)
Sementara itu, Kuliah Dhuha Perdana yang di sampaikan Tim. Kadhi Daerah Temerloh, Al Fathil Ustaz Zahari Daud dan di pengerusikan oleh Ustaz Mohd Syukri Shuib Pengerusi B'Muslim
Jabatan Kerajaan dan Swasta turut serta dalam Karnival ini dengan mengadakanPameran Jabatan masing2.Antara yg turut serta ialah PDRM, Jabatan Pertahanan Awam DLL.

Pendaftaran Pemilih (SPR)

Pemeriksaan Kesihatan Percuma (Klinik Mukmin)

Pameran dan Gerai Jualan


disamping tu dibawah ini Jabatan Amal bertungkus lumus menyediakan Jualan Amal Nasi Beriani

dan diakhiri sebelah malam nya dengan Ceramah bertajuk Ada Apa Dengan Cinta (Penceramah Jemputan dari Radio IKIM).
Syabas kepada B'Muslim yang berjaya menjinak,mendidik anak-anak muda serta dapat memberi ilmu pengatahuan agama,dengan ada ilmu pengatahuan agama insya Allah muda-mudi payah untuk terjerumus kejalan yang songsang. Moga program seperti ini dapat di buat acara tahunan...


Perjuangan UmNo Bukan Ikhlas Tapi E-Class


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berpandangan kekecewaan yang diluah oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dengan pergerakan Pemuda dan Puteri yang dianggapnya seperti tidak bermaya dan hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi menandakan Umno sudah hampir kehabisan oksigen dalam politik.

Teguran beliau yang mangatakan masalah itu berpunca apabila mereka yang bertanding merebut jawatan dalam kedua-dua pergerakan itu mempunyai matlamat mendapat jawatan dalam kerajaan. Sebenarnya penyakit merebut benda ini bukan sahaja dialami oleh Pemuda dan Puteri, malahan boleh dikatakan sudah melanda kepada semua organ parti.

Mereka menyertai Umno bukan ikhlas, sebaliknya hanya untuk “E-Class”, yakni untuk kepentingan dunia dan isinya sahaja. Perjuangan untuk menegakkan ideologi Umno dalam batang tubuh sudah terhakis, terutamanya generasi muda pada hari ini. Masuk Umno bukan atas kefahaman sebaliknya kerana untuk mendapat projek dan menjadi jutawan “mee segera” dengan menjadi “ jutawan 10 persen”.

Tengku Adnan tidak boleh marah kepada anak buahnya, kerana bapa borek anak rintik. Bukankah bapa-bapa dalam Umno pun terlibat dalam rasuah politik ketika setiap kali pemilihan Umno yang sudah menjadi barah tahap empat. Mantan Presiden Umno Tun Dr Mahathir pernah menggelarkan Umno sudah busuk sampai ke usus. Maka bukan suatu keganjilan anak-anak yang melihat gelagat bapa-bapa mereka untuk ditiru sama di peringkat Pemuda dan Puteri. Bertepatan pepatah mengatakan kalau guru kencing berdiri anak murid kencing berlari.

PAS berpandangan apabila parti Umno yang tidak mempunyai ideologi yang jelas, melainkan untuk kepentingan benda sahaja maka inilah yang terjadi. Jika jawatan dianggap untuk mengumpul kekayaan dan bukan lagi satu amanah maka tunggulah saat kehancuran.

Manusia tidak pernah puas dengan benda dan pangkat melainkan apabila tanah merah masuk ke dalam mulut barulah mereka puas. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW mengingatkan “Sekiranya anak Adam diberikan dua telaga emas, maka mereka akan menuntut telaga yang ketiga, sehinggalah di dalam mulut mereka dipenuhi dengan tanah (yakni mati)”.

Oleh itu PAS sering mengingatkan kepada semua ahllinya, bahawa perjuangan ini ialah menuntut mardhatillah, bukan selainnya. Kalau ahli dan pemimpin PAS bersikap untuk benda dan dunia, kita adalah orang yang paling rugi, kerana habuan di dunia belum tentu kita perolehi dan habuan akhirat pasti akan lari.



Selasa, 5 Oktober 2010

Kontang Idea, Masalah Buang Anak Terpaksa Rujuk Belgium


Parti Islam Se-Malaysia berpandangan hajat Datin Seri Rosmah Mansur hendak ke Centrum voor Integrale Gezinsgorg (CIG) di Brussels Belgium pada 5 oktober 2010 bagi mendapatkan pelbagai input untuk menangani permasalahan buang bayi adalah tindakan yang tidak munasabah, seolah-olah kerajaan sudah hilang punca dan kontang idea.

Fenomena ini sepatutnya dirujuk kepada mereka yang arif di negara ini sahaja bukannya di negara yang, iklim dan sosial budayanya berbeza.. Tindakan yang dibuat oleh Datin Seri Rosmah untuk merujuk negara Belgium bagi mengatasi masalah anak luar nikah, seolah-olah anak yatim yang kaya dengan harta peninggalan bapanya, tetapi masih lagi meminta sedekah kepada orang ramai. Begitulah juga tindakan Datin Rosmah ibarat memohon sedekah dan ehsan daripada orang lain, sedangkan kita mempunyai rujukan iaitu Islam.

Kenapa begitu takut hendak merujuk kepada pendekatan Islam yang lebih menyeluruh dan telah terbukti berjaya. Kaedah yang perlu digunakan mestilah merujuk kepada apa yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu pendekatan mencegah dan mendidik. Baginda telah berjaya membetulkan masyarakat jahiliah yang rosak dalam masa 23 tahun yang menjadi kekaguman ahli kaji masyarakat barat yang berpandangan kerosakan masyarakat jahiliah hanya dapat dirawat dalam masa 100 tahun lebih.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT