Sabtu, 13 Mac 2010

Hujan Turun Ketika Solat Istisqa


Subhanallah. Maha Suci Allah yang menjadikan semua urusan di dunia ini dibawah kekuasaannya. Kejadian semalam seperti yang kita maklum, suatu anugerah Allah kepada hambanya yang bersyukur dan senantiasa mengharapkan RedhaNya.

Ketika kita mengeluh keterikan panas matahari, kita memohon semoga ujian ini tidak lama. Tuan Guru selaku MB Kelantan, para exco dan rakyat turut sama bermunajat dan merayu agar Allah menurunkan hujan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Allah Maha Mendengar Lagi Maha Penyayang. Belum selesai rakaat pertama solat Istisqa, hujan turun agak lebat hinggakan basah kuyup ahli jemaah. Ini tanda Allah masih sayangkan umat Islam di Malaysia ini.

Kita mohon para penderhaka kepada Allah dan RasulNya bertaubat dan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Usah lagi khianati perjuangan Islam ini. Jangan khianati kepercayaan rakyat selama ini. Ingatlah sebelum terlambat.

Harakahdaily
KOTA BHARU, 12 Mac: Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.

Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.

Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.

Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT