Jumaat, 5 Jun 2009

6 strategi perkukuh PAS - Presiden


SHAH ALAM: PAS memulakan Muktamar Tahunan Ke-55 pagi ini dengan menggariskan enam strategi, antara lain mahu menampilkan satu imej dan citra sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS perlu menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat ‘usuliy’ dari segi prinsip-prinsip perjuangan, ‘mu’asirah’ dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, ‘istiqbaliy’ dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan.

Selain itu, Hadi yang menerajui PAS sejak 2002 berkata, beliau mahu semua peringkat ahli parti memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jemaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar umbi. “Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya ingin memimpin perubahan dalam negara ini dengan Islam.

“Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh,” kata beliau dalam ucapan dasar bertemakan Islam Memimpin Perubahan.

Tiga strategi lain yang diketengahkan Hadi ialah:

- Melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan bersedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan.

- Terus-menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global.

Para pimpinan ulama PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini.

- Mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam pilihan rata umum ke-13.

~ mStar

Pemuda PAS perlu rangka pelan kekalkan sokongan golongan muda - Presiden PAS


SHAH ALAM, 5 Jun (Hrkh) - Menyedari golongan pengundi muda memberi sokongan besar kepada PAS, pemuda perlu menjadi generasi yang akan mendominasi geo-politik masa depan negara , Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Pemuda PAS merangka pelan untuk mengekalkan sokongan golongan itu.

Kesan sokongan besar pengundi muda dapat dilihat dalam pilihan raya umum lalu yang menumbangkan Umno/BN di semenanjung Malaysia, katanya.

Justeru kata Ustaz Hadi, program-program bersesuaian, termasuk 'mengakhlakkan' aktiviti-aktiviti hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dilihat di luar ruang lingkup aktiviti PAS perlulah dirancang.

"Usaha ini perlu bukan sekadar untuk tujuan politik, tetapi lebih utama untuk melaksanakan tugas 'penyelamat' bagi mengeluarkan mereka daripada keruntuhan akhlak serta hanyut dalam hiburan di luar batasan agama," ujarnya menyampaikan Ucapan Dasar pada Perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-55 di Stadium malawati, di sini sebentar tadi.

Beliau turut mahu Dewan Pemuda menggiatkan program tarbiah kepada anak muda untuk melahirkan generasi pemimpin dan penggerak yang menghayati perjuangan menegakkan Islam.

Ustaz Hadi mengakui, pemuda telah memberi sumbangan besar dalam pilihan raya dan kegiatan PAS termasuk menggerakkan massa selain berharap Unit Amal terus meningkatkan prestasi.

"Pemuda juga perlu terus pro aktif menghadapi isu-isu dalam negara dengan memimpin ummah di medan dan secara bijaksana berhadapan dengan entiti yang berkenaan.

"Dalam konteks parti dan kerajaan serta percaturan politik yang serba mungkin dewasa ini, PAS terus menggalakkan Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan-kerajaan Pakatan rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat," ujar Ustaz Hadi menegaskan peranan Pemuda PAS masa kini.


2 Kali Tahniah Buat Sdr Abdullah Abdul Karim


Pertamanya tahniah kepada Sdra Abdullah Abdul Karim (Naib Ketua DPPN Pahang) dan pasangannya di atas perkahwinan yang baru saja berlangsung dengan jayanya pada 30hb Mei yang lalu. Kami difahamkan majlis menyambut menantu akan diadakan di rumah ibubapanya di Mentakab pada 13 Jun 2009 akan datang. Semoga rumahtangga yang dibina kekal sehingga 'dijemput Ilahi'.

Perkahwinan adalah suatu perkara yang semua orang suka.Kebanyakan anak muda hanya nampak nikmat sementara yang pasti akan hilang suatu hari nanti. Perkahwinan hanya dilihat sebagai cara untuk menghalalkan apa yang diharamkan. Tidak lebih dari itu...

Kalau dilihat hari ini, kes perceraian semakin meningkat terutama yang melibatkan golongan muda apatah lagi golongan artis. Bahkan golongan dewasa yang semakin berumur turut terlibat dalam gejala ini.

Perkawinan bukan sekadar melepaskan hajat terpendam, bahkan lebih dari itu adalah amanah Ilahi kepada kita untuk menyebarkan dakwah kepada ahli keluarga dan keturunan kita. Sejauh mana kita mampu mempertahankan IMAN dan ISLAM dalam diri keturunan kita selepas ini. Tugas kita cukup berat, seberat memimpin negari dan negara.

Kalau keluarga sendiri pun kita tak mampu jaga dan pelihara AMAN dan AKHLAK, bagaimana kita nak uruskan perjuangan yang besar ini? Kalau kita tak mampu pikul amanah dalam keluarga, kenapa kita masih beriya-iya benar menawarkan diri untuk memikul amanah yang lebih besar? So, fikir-fikirkanlah.... tepuk dada, kalau sakit jumpa doktor, kalau tak sakit, tanya Iman dan Taqwa...

Keduanya, tahniah juga buat sdr Abdullah kerana telah dipilih oleh para perwakilan pemuda kali ini untuk jawatan jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat. Moga kedua amanah yang baru dipikul ini memberi ruang yang lebih untuk saudara menambah amalan kebaikan. TAKBIR!!


ASSALAMUALAIKUM WRT WBT