Selasa, 2 Jun 2009

Salahkah Menyokong Perjuangan Anuar?


Oleh: Mee Celup

Gelombang politik terbesar di dalam negara ini hanya berlaku sebaik sahaja berlaku peristiwa pemecatan DS Anwar Ibrahim dari kabinet dan parti Umno lebih kurang 11 tahun yang lalu. Sebelum peristiwa tersebut, gelombang politik juga pernah berlaku tatkala berlaku pertembungan merebut jawatan Presiden Umno di antara Tun Dr Mahathir dengan YBM Tengku Razaliegh yang mana mengakibatkan wujudnya Parti Melayu Semangat 46(S46).

Sebelum itu juga, Umno pernah diharamkan sebelum Tun Mahathir menubuhkan Umno Baru yang kekal hingga sekarang. Namun gelombang politik yang menyaksikan pertarungan di antara Umno/Bn dengan Parti S46 yang telah bergabung bersama PAS dan DAP tidak sehebat gelombang yang dibawa oleh DS Anwar Ibrahim selepas tahun 1997.

Saya yakin sesiapa yang membaca kembali sejarah pada awal era reformasi sehinggalah kini, suka atau tidak terpaksa mengakui bahawa pengaruh DS Anwar sememangnya banyak mempengaruhi sokongan rakyat terhadap parti-parti pembangkang yang ketika itu begitu mudah diratah oleh Umno/Bn, kecuali kekuatan kental PAS di Kelantan.

Natijah daripada fitnah yang telah dilakukan oleh mereka yang cemburu serta dengki dengan pengaruh DS Anwar sehingga menyebabkan beliau dipecat dari kabinet dan parti, pembangkang terus mendapat tempat dihati rakyat.

Rakyat sudah tidak lagi meyakini Umno malahan mereka seolah-olah tidak percaya tergamaknya Umno mengkhianati tokoh Melayu yang Pro Islam ini. Tetapi bak kata orang, benih yang baik dicampak ke mana sekali pun tetap akan boleh hidup subur.

Secara jujurnya, parti PAS dilihat lebih banyak memakan hasil daripada peristiwa yang berlaku dan saya percaya ini adalah `kifarah' buat DS Anwar yang mungkin ketika di dalam Umno melakukan beberapa kesilapan di dalam pendekatannya.

Kini, setelah pembangkang mulai mendominasi beberapa buah negeri selepas pilihanraya Ke 12 yang lalu sehingga menyebabkan kerajaan Bn gagal memperolehi majoriti 2/3 di dalam Parlimen, sudah terdapat suara-suara sumbang terutamanya di dalam PAS yang seolah-olah menidakkan sumbangan, ketokohan dan jasa DS Anwar.

Perkara sebegini tidak pernah timbul sewaktu PAS di bawah kepimpinan Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Almarhum adalah seorang yang jujur, tidak pendendam serta bijak berpolitik. Budi Almarhum terhadap DS Anwar sudah tentu tidak terbalas.

Pulangnya Almarhum Ustaz Fadzil ke Rahmatullah memaksa DS Anwar menitiskan air mata. Semua ini adalah kisah masa lampau yang amat manis dikenang betapa pemimpin bersatu hati dan sedia bermaafan. Kini, masa berubah apabila melihat kepada kekuatan yang ada pada diri masing-masing.

Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan bermula beberapa minggu sahaja lagi. Sebagai sebuah parti yang telah kuat sudah tentu pendekatan di dalam berkempen berbeza samasekali.

Saya mengucapkan syabas kepada PAS kerana sehingga kini masih tetap dengan pendirian tegas berkenaan dasar Islam mereka. Tetapi, saya kurang selesa apabila terdapat beberapa pemimpin yang sering mengaitkan pemimpin yang lain di dalam PAS sebagai `orang DS Anwar'.

Apakah dosa DS Anwar sehingga beliau diheret bersama di dalam kancah perebutan kuasa di dalam PAS? Salahkah sekiranya mana-mana pemimpin PAS berbaik serta menyokong perjuangan DS Anwar selama ini? Apakah dengan menyokong perjuangan DS Anwar bermakna mereka meninggalkan prinsip mereka yang termaktub di dalam PAS ?

Semua persoalan ini tidak mampu saya huraikan melainkan pemimpin-pemimpin PAS itu sendiri. Meskipun saya seorang penyokong DS Anwar tetapi saya juga tetap menyokong serta menghormati pemimpin PAS.

Memang benar, mungkin terlalu simpati saya terhadap DS Anwar menyebabkan saya ingin menyuarakan perkara ini kerana bagi saya tidak adil DS Anwar dijadikan bahan tohmahan untuk melemahkan lawan politik sesama mereka.

Saya hairan mengapa wujud gelaran pemimpin ini `orang Anwar' dan pemimpin itu `orang Tuan Guru'. Setahu saya di dalam PAS pemimpin mereka adalah Presiden mereka dan Tuan Guru Nik Aziz adalah Muryidul Am mereka , tiada yang lain dari itu.

Umum mengetahui bahawa Presiden PAS dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri tidak pernah ingin berjauhan dari perjuangan DS Anwar malahan ingin dirapatkan lagi.

Harus diingat bahawa musuh sentiasa berada di sekeliling kita dan jika kita tersilap langkah, musuh akan mengambil kesempatan. Bukan tujuan tulisan ini untuk membela DS Anwar yang bukan seorang yang maksum dan bukan juga seorang Ulamak.

Saya sedikit terubat apabila mendengar segala kata-kata Tuan Guru Nik Aziz berkaitan hubungan yang perlu dijaga sesama kita di dalam PR. Jangan dimusnahkan apa yang telah dibina landasannya oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor.

Kesihan juga kepada DS Anwar yang tidak mampu mempertahankan dirinya apabila dikaitkan di dalam mainan politik oleh rakan-rakan seperjuangannya sendiri. Mungkin DS Anwar hanya mampu berkata di dalam hatinya," Kalaulah Almarhum Ustaz Fadzil masih hidup......"


Pelajari Kekalahan PKS di Indonesia


Kekalahan yang dideritai oleh Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Indonesia dalam pilihan raya Parlimen bulan lalu sangat memedihkan bagi umat Islam, namun kekalahan dan kemerosotannya sangat wajar dipelajari khususnya oleh pendukung gerakan Islam dan parti Islam di mana saja.

Pada pilihan raya Parlimen Indonesia tahun 2004, prestasi PKS yang pada watu itu di bawah pimpinan Dr Hidayat Nur Wahid, ulama lulusan Madinah, sangat cemerlang. Parti bernuansa Islam itu dianggap sebagai pengganti Masyumi, parti gabungan pimpinan Almarhum Muhd Natsir pada tahun 50-an kerana wawasannya sama mahukan Indonesia itu bernaung di bawah panji-panji Islam, walaupun Muhd Natsir sedar Indonesia sebuah negara berbilang agama dan budaya.

PKS dianggap parti Islam generasi baru yang sangat menjanjikan, begitu banyak harapan dan dukungan diberikan kepadanya. Dalam pilihan raya 2004 itu, PKS memenangi kerusi bandar-bandar besar.

Malangnya kemenangan itu ternyata tidak dapat dipertahankan lama. Dalam pilihan raya Parlimen Indonesia bulan lalu, PKS menderita kekalahan di kawasan yang dipernah dimenanginya dulu. Ia kalah di Jakarta, Depok, Bekasi, Bandung dan kota-kota besar lain.

Kekalan PKS ini disebabkan sikap, memberi kenyataan media tanpa berhati, hati, sikap mengatur strategi, mulai kurang memberikan perhatian kepada rakyat biasa.

Ia beransur-ansur menjadi parti elit yang kakinya tidak berjejak di kalangan rakyat biasa. Sungguh malang, disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Semuanya terjadi apabila sesetengah pemimpin PKS memuji bekas Presiden Suharto yang semua orang tahu mengenai pemerintahan kuku besi serta tindakan tiraninya.

Selanjutnya ada sesetengah pemimpin PKS mahu pula mengadakan hubungan baik dengan parti Suharto, Golkar yang kini dipimpin oleh Jusuf Kalla.

Segala-galanya bermula pada suatu malam bulan November 2008, sebuah majlis jamuan Silatulrahmi dan Dialog Antara Keluarga Pahlawan Nasional diadakan di Jakarta.

Hadir sama puteri Suharto, Titiek Suharto dan duduk semeja dengan Ketua Dewan Syura PKS, Hilmy Aminuddin dan Setiausaha Agung PKS, Anis Matta. Dalam ucapannya, Titiek sangat berterima kasih kepada pemimpi parti politik yang hadir kerana memuji ayahnya, Suharto dan memasukan nama ayahandanya sebagai pahlawan dan guru bangsa.

Acara itu, kata Presiden PKS, Tifatul Sembiring untuk mendorong rekonsiliasi agar tidak ada lagi dendam antara generasi.

Majlis pada malam itu penuh kontrovesi, ramai pemerhati melihat ada usaha sesetengah pihak hendak �memutihkan Suharto�, suastu usaha yang sama sekali bertentangan dengan keadaan yang ada, di mana rejim Suharto menimpakan derita bangsa, pelanggaran hak asasi manusia, matinya demokrasi dan segalanya.

Malangnya, seperti dikatakan tadi, turut hadir pada malam itu, malah memuji dan merestui Suharto sebagai �Pahlawan Nasional dan Guru Bangsa� ialah pemimpin tertinggi PKS. Bagi mereka kalau Suharto itu hendak dimaafkan, ada cara lain � secara peribadi-peribadi � bukan melibatkan pati politik, lebih-lebih lagi ketika menghadapi pilihan raya Parlimen (DPR) dan seterusnya Pemilu Presiden bulan Julai ini.

Ramai pendukung PKS menyalahkan Anis Mata yang hadir dan turut memuji Suharto, tetapi ada yang bertanya bagaimana dengan kehadiran Ketua Dewan Syura PKS sendiri, Hilmy Aminuddin. Bagaimana bliau melihat semuanya ini dari perspektif Islam?

Sejak peristiwa itu, keraguan dan kekecewaan rakyat terhadap parti Islam itu semakin membesar, khususnya generasi muda. Mereka yang kecewa ini bukan saja dari pulau Jawa, tetapi juga dari Sumatera dan Kalimantan, kepulauan Riau serta Sulawesi.

Prestasi PKS yang selama ini diharapkan menjadi tonggak kekuatan parti Islam Indonesia ternyata juga merosot. Tinjauan terhadap momentum kerja, terutama di kawasan yang dimenanginya pada tahun 2004 dulu, didapati merosot. Rakyat yang mendukung PKS dulu kecewa kerana �tidak dipedulikan� setelah menang.

Itulah antara sebuahnya, PKS yang selama ini diberikan harapan tinggi untuk menjadi tunggak parti nasional, setelah Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dan Parti Bulan Bintang tidak berdaya memenuhi cita rasa dan harapan rakyat.

Mulanya, ketika awal pemilihan Parlimen bulan lalu, Dr Hidayat Nur Wahid diuar-uarkan untuk mendamping Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) sebagai regu Presiden dan Naib Presidern. Namun dengan kekalahan demi kekalahan yang diterima oleh PKS, maka 'harga' PKS pun merosot, tidak mungkin lagi SBY menerima Dr Hidayat sebagai regunya.

Susilo pun memilih Boediono (bekas Gabenor Bank Pusat), pakar ekonomi sebagai calon naib presidennya menolak calon yang diajukan parti politik lain lain.

Alasannya, SBY mememerlukan seorang pendamping yang ahli di bidang ekonomi untuk menghadapi krisis kewuangan global yang cukup tenat jika kembali memimpin.

Alasan tersebut disampaikan SBY kepada Presiden PKS, Tifatul Sembiring dalam pertemuan menjelang deklarasi pasangan calon presiden dan naibnya: SBY-Boediono (SBY - Berbudi) di Hotel Sheraton, Bandung baru-baru ini.

Tifatul Sembiring bertanya: "Kita minta penjelasan kenapa Boediono - SBY melihat persolan kita ke depan masih masalah ekonomi. Selama lima tahun krisis ini belum berakhir?" SBY menjawab, "memang belum selesai."

Selain itu, PKS juga meminta penjelasan tentang mazhab ekonomi Boediono. Dalam pertemuan tertutup itu, SBY menjelaskan bahwa Undang-Undang Sukuk dan Perbankan Syariah di Indoneia sebenarnya lahir pada masa Boediono memegang jawatan di Bank Central itu.

Kini SBY (Demokrat) berpasangan dengan Boediono, Jusuf Kalla (Golkar) dan Wiranto dari Golkar dan Megawati (PDI) dengan bekas jeneral Prabowo.

Adapun PKS menduduki tempat ke empat dalam senarai pemilihan anggota parlimen bulan lalu.

Sebuah pendapat yang cukup menarik ialah dari Direktur Eksekutif Center for Indonesia Reform, Sapto Waluyo mengenai PKS ini: "Kesan kekalahan PKS ini menyebabkan target mendapat 20 peratus suasara telah gagal, kerana kekalahan strategi, bacaan politik, jangkauan dan lain-lain."

Kini PKS terpaksa mengambil keputusan mendukung pasangan SBY-Boediono, setelah 'harga'nya dipasaran politik Indonesia demikian merosot. Ramai yang bingung mengapalah pemimpin PKS yang lengkap dengan Majlis Syuranya, kepimpinan tertingginya yang berpendidikan tinggi, tarbiyah siasinya dan lain-lain, tetapi memuji Suharto, menganggapnya salah seorang pahlawan nasional Indonesia.

Kesimpulannya, kesilapan dan kelemahan Parti Islam Indoneia, PKS ini wajar menjadi renungan pendukung parti politik Islam di mana saja. (harakahdaily)


Mengambil Iktibar Watak Sayidina Abu Bakar & Omar


Bagi pengamal sirah para sahabat r.a., akan mendapati bahawa antara kedua-dua pimpinan tertinggi khilafah Islamiyah selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. iaitu antara Khalifah Sayidina Abu Bakar as-Siddiq dan Sayidina Omar bin al-Khattab, mempunyai perwatakan dan keperibadian yang sama sekali berbeza antara satu sama lain.

Ini kerana ada yang ulama sirah seperti Prof Dr Yahya Ismail, pensyarah Hadis di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar dalam buku sirahnya berpendapat, bahawa kelainan perwatakan yang ada antara kedua-duanya merupakan satu anugerah Allah yang paling besar ke atas umat Islam. Ini kerana Sayidina Abu Bakar sering dikaitkan dengan seorang yang bersikap lemah lembut dan mirip kepada sifat berkasih sayang, sementara Sayidina Omar pula ada yang mengaitkan dengan seorang yang tegas, berani dan agak sedikit keras.

Kedua-dua perwatakan tersebut sebenarnya amat diperlukan dalam sebuah 'jemaah Islam' seperti PAS yang bercita-cita memperjuangkan Islam dalam segenap aspek kehidupan, terutamanya memastikan undang-undang negara berdasarkan prinsip hukum Ilahi. Ini kerana kedua-dua cara dan penampilan kedua-dua pimpinan khalifah tersebut sesuai sepanjang zaman di mana wujudnya kambing-kambing hitam yang mahu menumbangkan pemerintahan secara tidak demokratik.

Apa yang kita boleh belajar daripada kedua-dua tokoh sahabat Rasulullah berkenaan, ialah salah seorang daripada keduanya memiliki sifat 'low profile' dan seorang lagi tegas, lebih-lebih lagi berlaku insiden atau tragedi yang menyanggah kesucian agama, ia dapat dilihat dalam satu peristiwa selepas berakhirnya perang Badar Kubra.

Dalam peperangan itu, umat Islam berjaya membunuh kira-kira 70 musyrikin dan menawan 70 yang lain, baginda Rasulullah s.a.w. tidak dapat memutuskan kedudukan 70 tawanan tersebut. Maka kedua-dua Abu Bakar dan Omar dipanggil untuk mendapatkan pendapat mereka. Sayidina Abu Bakar mencadangkan agar setiap daripada tawanan berkenaan mengajar 10 anak orang Islam mengenai hal-hal yang bersangkutan dengan ilmu peperangan, cara-cara membuat senjata dan sebagainya, jika projek itu berjaya bermakna 700 anak-anak orang mahir dalam bidang peperangan.

Rasulullah bersetuju dengan pendapat Abu Bakar itu, walau bagaimanapun baginda tetap mahu mendengar pendapat daripada Sayidina Omar pula. Omar juga menyatakan bahawa pendapat Abu Bakar itu ada kebenarannya, tetapi baginya disebabkan puak-puak musyrikin itu adalah punca kepada berlakunya penyelewengan terhadap umat manusia, maka beliau mecadangkan agar kesemua mereka yang ditawan itu dipancung sahaja kepala mereka.

Rasulullah s.a.w. tidak dapat nak memutuskan antara kedua-dua pendapat itu, namun baginda menegaskan bahawa mahu berjumpa mereka berdua pada keesokan hari di tempat yang sama. Pada malam itu Allah SWT memutuskan keputusannya mengenai kedudukan tawanan perang melalui ayat 67 surah al-Anfal sebagai teguran kepada Nabi: "Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Boleh dibuat kesimpulan mengenai ayat di atas, bahawa Allah SWT mahu agar Nabi-Nya membunuh (dengan memenggal kepala) para tawanannya, ada mufassir menyebut seolah-olah pendapat Omar menepati ayat yang telah Allah tentukan sejak di 'Luh Mahfuz' lagi kedudukan mereka yang menentang Rasulullah. Ia bukanlah satu pendapat yang memperlihatkan kegarangan Omar, akan tetapi merekalah punca ramai manusia menentang Allah SWT.

Setelah kewafatan baginda Rasulullah, tampuk pemerintahan diserahkan kepada Sayidina Abu Bakar dengan cara syura dijalankan. Abu Bakar berpegang prinsip yang menepati cara dan kaedah perwatakannya. Justeru beliau memilih orang yang tegas dalam memimpin ketumbukan perang agar ketahan Islam dapat dipelihara. Khalid Bin al-Walid menjadi pilihannya, kerana Khalid adala individu yang suka berperang dan mempunyai banyak pengalaman dalam peperangan.

Ringkasnya, apabila Sayidina Abu Bakar meninggal dunia, jawatan itu tidak dikekalkan Omar kepada Khalid, kerana Omar tahu bahawa beliau dan Khalid mempunyai watak yang sama, nanti mereka berdua akan bertindak mengarahkan agar umat Islam sentiasa berperang. Khalid menerima pelucutan jawatannya sebagai panglima perang, kerana beliau juga tahu keadaan tersebut, maka Sayidina Omar melantik Sa'ad Bin Abi Waqqas yang memiliki ciri-ciri yang ada pada Abu Bakar.

Maknanya, kedua-dua Sayidina Abu Bakar dan Omar memahami tuntutan berjemaah, di mana perlu ada seorang yang berwatak agak tidak keras dan seorang lagi berwatak agak tegas pada satu-satu masa. Inilah yang mereka belajar daripada Sirah baginda Rasulullah s.a.w. yang mahukan kedua-dua watak itu wujud dalam 'jemaah Islam'.

Maka dalam PAS juga yang menyifatkan dirinya Islamik, sudah tentu tidak boleh membebaskan dirinya daripada kedua-dua elemen penting itu yang mampu melonjakkan sebagai sebuah gerakan Islam, ia tidak berkecuali apa yang pernah terjadi kepada pimpinan Gerakan Ikhwan Muslimun dalam menentukan sikap mereka terhadap perjuangan Syiah, ada yang berlembut dan ada yang tegas menolak untuk berbaik dengan Syiah.

Dalam senario politik tanah air, banyak yang diperkatakan sejak akhir-akhir ini oleh pihak tertentu mengenai keperibadian kedua-dua tokoh tertinggi dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), iaitu Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, seolah-olah suatu kecenderungan mahu melaga-lagakan antara mereka berdua. Bagi yang telah mengikuti huraian di atas, maka tidak akan ada lagi spekulasi yang membabitkan kedua-dua tokoh berkenaan.

Sebenarnya perbuatan seumpama itu akan merugikan perjuangan parti sendiri. Apa yang penting kita memiliki panduan iaitu al-Quran, jika sesuatu berita itu dilihat cenderung ke arah melaga-lagakan tokoh pimpinan PAS yang berusaha untuk mendaulatkan Islam, anggaplah ia sebagai sebuah berita yang didatangkan oleh golongan yang fasik, maknanya berita itu perlu diselidiki terlebih dahulu kesahihannya seperti yang diarahkan Allah untuk berbuat demikian menerusi ayat 6 surah al-Hujurat: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka hendaklah selidiki dengan teliti terlebih dahulu, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu."

Sebagai kesimpulan, bagi menjernihkan keadaan di kalangan ahli-ahli parti lebih-lebih lagi menjelang 'Muktamar Tahunan PAS' pada Jun depan dalam suasana pemilihan pucuk pimpinan parti, adalah diharapkan agar setiap perwakilan dapat menggunakan kewarasan cara berfikir dengan tidak bertindak secara melulu, lebih-lebih lagi isu yang mengaitkan ketokohan kedua-dua pimpinan tertinggi PAS yang semakin panas di dada akhbar dan laporan siaran berita yang mempunyai agenda tersendiri. (harakahdaily)


ASSALAMUALAIKUM WRT WBT