Khamis, 12 November 2009

HASSAN ALI BAKAL DIPECAT ?


Selepas Seminar Politik selesai dengan resolusi dihasilkan, kini pemerhati politik terarah ke topik yang lain pula iaitu hasil siasatan Badan Disiplin PAS yang diketuai oleh Dato Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Pengerusi JK Disiplin PAS. Masing-masing ingin melihat hasil siasatan. Paling utama barangkali mereka ingin tahu nasib PJ Selangor yang juga Exco Kerajaan Selangor.

Bagi yang "anti" Hasan Ali, tentunya ingin melihat karier Hasan Ali berakhir. Kena gantung atau dipecat sebagai PJ. Bagi yang"pro" pula, berdoa agar PJ Selangor ini bebas dari tindakan disiplin. Anda pula bagaimana?

Melihat cara Pengerusi JK Disiplin menjawab soalan media, nampaknya kes ini "tersangkut" juga. Dengan makna Hasan Ali kena jawab "benarkah tuduhan ini dan kena bela diri." Kalau mengikut "tatacara mahkamah", apabila suspek diarah bela diri, ini menunjukkan kena nafi dengan hujah yang menyakinkan hakim.

Mengenang kembali Sirah Rasulullah. Ketika Ghazwah Tabuk, beberapa Sahabat tidak menyertai peperangan tersebut kerana kelalaian dan mereka mengaku salah atas kesilapan mereka. Bukan mencipta alasan seperti golongan munafik. Mereka bertiga adalah Kaab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah bin Rabi'.

Rasulullah menerima pengakuan mereka dan meminta orang Islam memulaukan mereka bertiga hingga Allah Taala memberi keputusan dengan penurunan wahyu.

Kaab bin Malik menerima ujian yang hebat. Dalam tempoh pemulauan itu, Raja Ghassan yang berugama Nasrani melalui wakilnya berjumpa Kaab. Menawarkan kemewahan dan jawatan kepada Kaab. Iman Kaab begitu tinggi hasil tarbiyyah Rasulullah. Kaab membakar surat tawaran itu dan menganggapnya satu malapetaka ke atas dirinya.

Nah! Cantiknya kisah ini untuk direalisasikan dengan keadaan hari ini. Seandainya Dato Hasan Ali melakukan kesalahan, beliau patut mengaku salah dan terima apa saja hukuman parti dengan hati terbuka. Seandainya Badan Disiplin PAS mendapati beliau tidak bersalah, golongan yang "anti" beliau perlulah terima keputusan tersebut.

Penyokong sejati PAS adalah mereka yang mempunyai perasaan :

i) Mereka merasai sedih seandainya Hasan Ali bersalah. Tiada sekelumitpun perasaan gembira jauh sekali perkataan "padan muka". Mereka berdoa Hasan Ali tetap dengan pendirian bersama PAS walaupun dijatuhi hukuman berat. Mereka berharap beliau terima hukuman tersebut dengan perasaan terbuka dan redha.

ii) Mereka bersyukur seandainya Hasan Ali bebas dari tindakan tatatertib.

Hanya golongan munafik yang berasa gembira sekiranya Dato Hasan Ali didapati bersalah ataupun bebas dari hukuman. Mengapa ? Bukankah kerja mereka mengadu dombakan antara sesama pejuang Islam. ?

Sebenarnya kes seperti inilah kita boleh mengenal musuh dalam lipatan, munafikin. Bacalah dalam blog-blog mereka. Kata-kata mengeji pimpinan TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi tertulis dalam blog mereka. Maki hamun, adu domba dan kata-kata jelek terkandung dalam blog mereka.

Peliknya, kadang kala blogger yang pro PAS tanpa segan silu mengutip "sampah busuk" ini untuk disiar dalam blog mereka.

Kita tidak menganggap TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi maksum. Kita juga tidak mahu blogger memuji melangit PAS. Tetapi kita mahu teguran dengan bahasa yang sopan dan beradab. Bukan maki hamun dengan bahasa kurang ajar.Kepada Dato Hasan Ali, jaga diri anda dari "jelmaan semula" wakil Raja Ghassan!

Mampukah PAS dipandang mulia dan menjadi penyelamat ?


Oleh : Tok Pepijat

Perjuangan PAS adalah Islam. Islam itu adalah penyelamat. Islam itu adalah keamanan dan pendamaian.

Selepas 13 Mei 1969, Kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Razak mengajak PAS menyertai kerajaan campuran yang di namakan Barisan Nasional. Demi perpaduan dan keamanan, PAS menyertainya. Di kala itu PAS tidak melihat perkara yang bakal berlaku di masa depan. Apatah lagi prasangka buruk terhadap UMNO/BN. Semuanya dipandang positif dan baik oleh PAS. Yang penting rakyat selamat dan sejahtera.

Walaupun cita-cita PAS untuk tegakkan hukum hakam Allah sedikit terganggu dan tidak lancar, PAS sanggup korbankan "masa perjalanan itu" bukan korbankan prinsip ! Semuanya demi negara dan rakyat. Apatah lagi dikala itu negara berada diambang kemuncak perkauman dan ancaman komunis.

Akhirnya PAS ditendang keluar bagai anjing kurap. Bermula dari tarikh itulah PAS memulakan perjuangannya dengan "zero". Pelbagai pahit maung dialami. Tragedi Memali, Operasi Lalang, Tragedi Lubuk Merbau, penarikan permit Harakah dan 1001 kezaliman.

Itu belum lagi dengan penghantaran "hijrah" penyokongnya ke kawasan pendalaman samada sebagai guru maupun sebagai pegawai kerajaan.

PAS juga mengalami proses "pemutihan". Ramai pembesarnya gugur di perjalanan perjuangan. Nama-nama besar seperti Dato Asri, Datuk Nakhaei antara yang gugur. Oleh kerana perjuangan PAS bukan atas dasar peribadi dan individu tetapi Islam , maka PAS tetap gagah dan utuh. Hanya Allah Taala sahaja yang boleh "mentalqinkan" PAS ! Bukan makhlukNya.



Selepas PRU 12 2008, PAS juga mengalami ujian yang dahsyat. Terutama di Perak dan Selangor. Diumpan dan digoda dengan pangkat jawatan. PAS Selangor dan Perak berada di 2 persimpangan. Samada terima tawaran ataupun patuh kepada perjanjian. Hebatnya godaan itu ke peringkat jawatan MB dan kebenaran laksana hukum syariat!

Alhamdulillah PAS patuh kepada perjanjian walaupun dengan parti sekular PKR dan DAP. Langkah PAS ini mirip dengan apa yang telah Rasulullah lakukan dalam Perjanjian Hudaibiyah. Dikala Umar dan umat Islam agak kecewa dengan perjanjian itu yang mana seolah memberi kelebihan kepada Musyrikin Mekah, Rasulullah memberi harapan kepada Umar bahawa kemenangan Islam sudah hampir, Penaklukan Kota Mekah. Berduyung-duyung manusia memasuki agama Allah.

Mungkin kita melihat, PAS kerugian kerana patuh kepada perjanjian dengan PKR dan DAP. Kita mungkin kerugian jawatan MB dan Exco sepertimana Rasulullah kehilangan Abu Bashir dan Abu Jandal dalam Perjanjiaan Hudaibiyyah.

Tetapi lihatlah di sana, jutaan rakyat Malaysia sedang menanti dan merindui kerajaan yang adil untuk memimpin Malaysia. Seperti ucapan Presiden PAS TG Haji Hadi Awang yang menyatakan kita yakni PAS adalah kerajaan yang menanti.

Kini rakyat Malaysia melihat, PAS adalah parti yang patuh dan setia pada perjanjian. Setia pada perjanjian antara ciri akhlak yang mulia. Bukankah akhlak yang mulia ini yang menyebabkan Islam dapat menguasai 1/3 dunia ? Islam menguasai hati-hati manusia bukannya dengan pedang tetapi dengan akhlak.

PAS dipandang mulia selagi setia dan patuh kepada perjanjian.

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT