Selasa, 23 November 2010

Dari Blog Ketua Pemuda Pusat

Warisan Tradisi dan Penemuan Baru

1. Saya tertarik dengan kenyataan mantan Profesor Madya Program Sains Politik UKM Ghazali Mayudin yang menulis dalam Harakah mengenai PAS Baru dalam Era Politik Baru . Suatu pandangan yang kritis dan wajar ditekuni oleh pemimpin PAS di semua peringkat termasuk diri saya sendiri . Tahniah di atas pandangan yang dikemukakan dan saya pada dasarnya bersetuju dengan pandangan tersebut meskipun ada pengecualian pada satu atau dua perkara yang saya berbeza pandangan dengan beliau.

2. Iklim politik sememangnya telah memasuki era baru yang menjadikan pentasnya lebih lebar , situasinya kian mencabar , saingannya makin getir dan isu - isunya bergerak pantas. Mendepani fenomena seperti ini pastinya seluruh jentera parti yang terdiri dari pemimpin dan anggotanya tidak lagi boleh rehat panjang dan sambil lewa dalam melaksanakan tugas atau amanah perjuangan suci yang disandangnya.

3. Mesti keluar dari zon lama atau wajib membebaskan diri dari cara fikir , cara tindak dan cara dekat yang lama kepada satu pemikiran , tindakan dan pendekatan yang baru dan berkesan tanpa perlu menafikan warisan tradisi lama yang soleh. Sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah menggandingkan warisan tradisi lama yang soleh dengan penemuan - penemuan [ kaedah atau pendekatan ] baru yang bermanafaat dan berkesan untuk mencapai matlamat perjuangan .

4. Kita tidak boleh bersikap prejudis dengan usaha tajdid [ pembaharuan ] kerana pendekatan dan pembawaan parti [ jamaah ] mesti bergerak semasa dan seiring dengan masyarakat yang menjadi sasaran atau madu'unya serta memahami keperluan dan tuntutan semasa yang mesti dilengkapkan oleh pemimpin dan jamaah agar kepimpinan dan wadah perjuangan Islam ini senantiasa berada di arus perdana dan dilihat sebagai bahtera penyelamat yang mampu ditumpangi oleh ummah sedang mereka meronta mohon diselamatkan dari kemungkaran dan keruntuhan tamadun material hari ini .

5. Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah agama yang sesuai dan relevan di sepanjang zaman. Biarpun al Quran diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu namun prinsip , kaedah , iktibar , nasihat , hukum dan isu yang dibawa oleh al Quran masih segar dan hidup. Selama mana perjuangan ini melandasi kaedah dan hikmah al Quran maka selama itulah perjuangan ini terus segar , baru dan sesuai di sepanjang masa perjuangannya.

6. Justeru itu , dalam usaha membugarkan wadah perjuangan Islam PAS ini ditengah - tengah kemelut dan krisis masakini , kita tidak perlu apologatik untuk terus bercakap mengenai dasar dan prinsip perjuangan Islam yang kita dokong seperti perlaksanaan syariah Islamiyah dan seumpamanya. Tinggal lagi kita perlu perluaskan perbahasan secara hikmah [ bijak ] dan himmah [ wibawa ] bukan kasar , keras , bersifat menghukum dan tidak inklusif dalam perbincangan atau perbahasan .

7. Saya tidak bersetuju membawa PAS baru dengan menenggelamkan atau menyembunyikan hasrat atau cita - cita untuk mendaulatkan Islam walaupun ia dilakukan atas nama strategi kerana kelak kita akan dilihat berpura - pura [ hipokrit ] . Kita memperjuangkan Islam dengan pakej asal yang tulen dari Rasul saw. Tiada pakej kedua atau ketiga sekalipun untuk berdepan dengan usaha meraih sokongan dan undi non muslim. Pakej perjuangan kita telah siap dan kekal iaitu al Quranul karim dan ia dibaca oleh seluruh ummat manusia sejak lebih 1400 tahun lalu tanpa sembunyi dan perlu disepikan lagi .

8. Pembaharuan yang perlu kita lakukan ialah sebagaimana yang disebut oleh Ghazali Mayudin iaitu bagaimana kita menafsirkannya kepada ummah agar kita tidak hanya terhenti setakat meriwayat , mengungkap slogan , berkisar dalam aspek tekstual tanpa pergi lebih jauh kepada menyediakan solusi dan tindakan yang berkesan . Sebagai contoh, pemimpin dan anggota PAS mesti sedia berubah secara total untuk keluar dari minda pembangkang kepada minda negarawan atau pemerintah . [ Biarpun ia agak sukar kerana terlalu lama menjadi pembangkang ] tetapi kini keadaan memaksa kita berubah.

9. Kempen baru kita dalam musim atau diluar musim pilihanraya mestilah tidak lagi menggunakan kaedah lama yang hanya membuatkan ahli sendiri berasa syok sementara orang - orang atas pagar dan mereka yang berada di seberang pagar akan lari malah tersinggung rasa dengan cara kita . Sedang kempen adalah untuk mendekatkan orang kepada kita. Kaedah lama seperti perkataan kasar penuh emosi yang dilontarkan mungkin berbalas takbir yang bergema dari kalangan sendiri tetapi ia menambah liar hati orang ramai kepada perjuangan kita. Sebenarnya ini bukanlah kaedah baru pun sebab ianya telah disebut oleh Allah dalam al Quran yang bermaksud : "wahai Muhammad , jika sekiranya kamu berkasar dan keras hati nescaya mereka akan lari daripada kamu"

10. Masaalah utama yang saya lihat dihadapi oleh kita ialah bukan tidak ada perkara "baru" yang mahu dilakukan bahkan kita mempunyai terlalu banyak idea - idea baru yang dicambah sesama kita [ melalui retreat , meeting dan brainstorming ] serta dicampak atau dilontar oleh pihak lain kepada kita tetapi masaalah utama yang dihadapi ialah keupayaan mengurus sumber tenaga , sikap dan minda .

Menjadi PAS baru juga bukan bermaksud kita mesti terkesan dan terpengaruh dengan persekitaran dan keadaan baru yang kita hadapi lalu kita jadi seperti mereka , sebaliknya kita menguasai persekitaran dan memimpin keadaan agar mereka dibimbing ke arah mencapai matlamat perjuangan suci yang kita dokong .

Jumaat, 12 November 2010

IJTAMA` TARBAWI

Ijtima' Tarbawi Pemuda Peringkat Parlimen Temerloh dengan Tajuk "MURNIKAN PERJUANGAN MAKNAKAN KEMENANGAN" diadakan pada 29 - 30 Zulkaedah 1431 bersamaan 6 -7 November 2010 masehi di Darul Ansar, Kg Chempaka, Lachang dengan kehadiran peserta 80 orang.
Menurut Pengarah program,Ustaz Shukri Shuaib pendaftaran bermula jam 6.00ptg Sabtu 6hb.November 2010 anjuran Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda Pas Temerloh.


Dirasmikan oleh YDP Pas Temerloh oleh Ustaz Abdul Rahim bin Abdul Latif dengan dimulai acara BBQ Santai Ukhrawi bersama bekas Pimpinan Pemuda Pas Temerloh.Antara mereka yg hadir ialah Ustaz Abirereh,Pak Hassan dan Sdr Mokhtar Adnan.Turut berucap di malam tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda Pas Temerloh sekarang iaitu Ustaz Jauhari Ishak.



Kome tengah bakar ayam, sat lagi boleh satapan....Sdr Atan dan Sdr Zul Omar menjadi tenaga penting "Pembakaran" pada malam ini.



Ahad 7. Nov 2010 Program mulai dengan Qiamullail/Solat Subuh
*Kuliah Subuh oleh Ustaz Shahril Azman (Tim Ketua Pemuda Pas Phg)
*Pidato 1-dengan Tajuk Pemuda & Tarbiah Islamiah Ustaz Nafiri Tauzan (Tim Ulamak)
*Pidato 2-dengan Tajuk Pemuda & Tarbiah Jihadiah OlehUstaz Riduan Rahmat(Ketua DPP Kuala Langat)





Setelah makan tengahari dan Solat Zohor berjemaah di adakan Forum Tarbawi : "Membudayakan Tarbiyah Pemuda Pas"
Ahli panel nya : Ust Abu Bakar Chik (AJK PAs Pusat) Ust Mokhtar Senik (Naib Ketua Dewan Ulamak Pahang) dan Ust Hazmi Debok (Ketua Tarbiah DPP Pahang)



Bacaan Mathurat & Tazkirah oleh Ust Johari Ishak (Ketua Pemuda DPP Temerloh) setelah minum petang. Selepas solat maghrib kami dapat menyimpulkan Resolusi Ijtimak tiga perkara:-

*mewajibkan perlaksanaan tarbiah dalam organisasi pemuda
*mengukuhkan ukhuah islamiah sebagai pemangkin pemantapan gerak kerja pemuda
*memantapkan kefamahaman terhadap konsep tarbiah islamiah dan tarbiah jihadiah sebagai pemandu dakwah yang berkesan

Penuntup Program setelah solat isyak berjemaah dengan Ceramah Umum Oleh Ust Johari Ishak(Ketua Pemuda DPP Temerloh; Ust Abdul Rahim Abdul Latif(YDP Pas Kaw Temerloh); Ust Suhaimi Md Saad (Ketua Pemuda DPP Phg) dan Ust Abu Bakar Chik (AJK Pas Pusat)

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT