Rabu, 31 Mac 2010

Ilmu Diikat Dengan Catatan, Organisasi Diikat Dengan Mesyuarat


Oleh : Pecah Minda

Salam persahabatan...

Nadi kepada organisasi tidak terletak pada keutuhan ekonominya, tidak terletak pada kebijakan perancangannya, tidak terletak pada susunan panjang programnya, tidak terletak pada kepetahan perdebatannya, tidak terletak pada senarai panjang jawatankuasanya, tidak terletak pada profil-profil yang dihias cantik.

Tetapi, nadi organisasi terletak pada mesyuarat. Biar berbukit sumber ekonominya, tanpa mesyuarat mustahil bukit itu mampu diratakan dan kita tidak akan mendapat hasilnya.

Biar berkajang-kajang perancangannya, tanpa mesyuarat ianya hanya tinggal perancangan, tanpa mampu direalisasikan dalam situasi terkini dan mutakhir masyarakat.

Biar berjela-jela susunan program sepanjang tahun, tanpa mesyuarat tentu program berlangsung dengan seribu satu ketempangan tanpa kesempurnaan dan kesinambungan.

Biar sebagaimana cantik hiasan profilnya, sasaran dan matlamat diluar kertas semakin menjauh dari yang dijangkakan.

Oleh itu, memandang sinis kepada institusi mesyuarat adalah satu langkah paling tidak bijak dalam mengurus organisasi.

Selain tempat percambahan idea, pertembungan minda, penjanaan pemikiran, penyatuan fikrah dan penghasilan satu matlamat yang jelas dan terarah.

Mesyuarat juga berfungsi besar sebagai satu medan mengikat ahli organisasi agar memberi tumpuan yang berkala dan berjadual terhadap matlamat yang disepakati bersama.

Sebagaimana kata-kata tuan guru; Ilmu itu adalah buruan, maka mencatat ilmu itu adalah sebagai kandang atau pengikatnya. Begitulah dalam berorganisasi, mencari kata putus terbaik dan paling tepat adalah matlamat kita maka medan mesyuaratlah yang menjadi penentu dan pengikat kepada sesebuah organisasi.

Oleh itu, samada kita sebagai peneraju organisasi atau sebahagian dari organisasi, jangan biasakan diri memberi pelbagai alasan untuk tidak menghadiri atau sengaja datang lewat ke tempat mesyuarat hinggakan sahabat-sahabat yang lain terpaksa menunggu lama untuk memulakan sesebuah mesyuarat.

Seorang sahabat pernah bertanya; “adakah kita dikira berdosa sekiranya gagal merancang masa dengan sempurna hingga lewat tiba dalam mesyuarat sedangkan sahabat yang lain menunggu-nunggu kedatangan kita? Cukupkah sekadar kita memberi alasan kesibukan dan sahabat lainnya mengangguk kepala dalam geram? Bukankan itu tandanya kita menzalimi sahabat kita? Membuang masa sahabat kita sedangkan dia juga mempunyai urusan lain yang sama sibuk seperti kita!”

Ana cuba balas persoalan itu dengan nada yang agak kontra; “berbanggalah kita mempunyai sahabat yang sebegitu, walaupun terlewat masih mampu untuk terus bersama kita. Walaupun sibuk masih mampu untuk meneruskan agenda perjuangan bersama kita. Walaupun sikap sebegitu menggeramkan kita, kita masih memperolehi pahala dengan bersabar dan terus bersabar. Sebenarnya itulah jalan untuk mendapatkan pahala tanpa perlu bersusah payah!”

Akhirnya kami terdiam. Begitulah Allah Taala menciptakan kita. Selagimana kita mempunyai akal, pro dan kontra akan sentiasa melingkari kehidupan kita.

Renungkanlah wahai sahabat seperjuanganku... sekiranya kita memberi alasan sibuk, maka orang gila lagi sibuk dari kita, mundar mandir tanpa henti dengan kepala penuh dengan masalah yang sampai bilapun tak mampu kita fahami.

Akhir bicara, sentiasalah ceriakan wajah dan hati kita untuk terus bermesyuarat dan bermesyuarat, hingga bermesyuarat itu menjadi satu rutin harian baru kita dan sumber keceriaan wajah dan hati kita, insya Allah.

Allahu Akbar !!!

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT