Jumaat, 23 Januari 2009

PKR Pulau Pinang gugur Mohd Fairus dari jawatan Timbalan Pengerusi


PKR Pulau Pinang merombak jawatankuasa perhubungan negerinya dengan menggugurkan dua daripada tiga timbalan pengerusinya, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin.

Seorang lagi timbalan pengerusi PKR negeri yang digugurkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tambun, Law Choo Kiang.


Tempat Mohd Fairus digantikan oleh Dr Mansor Othman manakala Law digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Tan Hock Leong.

Bagaimanapun Mohd Fairus dilantik sebagai ahli jawatankuasa jemputan.

Manakala Datuk Zahrain Mohamed Hashim kekal sebagai pengerusi PKR negeri dan Adun Batu Uban, S Raveentharan kekal sebagai timbalan pengerusi negeri.

Jawatan ketua Pemuda PKR negeri yang kosong sebelum ini diisi ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Mustafa Kamal Mohd Yusoff mengekalkan jawatan setiausaha perhubungan negeri, manakala Mohamed Fauzi Noordin kekal sebagai penolong setiausaha.

Dua lagi penolong setiausaha merupakan muka baru iaitu, Lim Boo Chang dan M Nyanasegaran.

Manakala Diong Chong Mee dilantik sebagai timbalan ketua Wanita negeri.

Setiausaha kerja PKR Pulau Pinang, Abdul Latif Abdullah, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan senarai rombakan jawatankuasa perhubungan PKR negeri itu.

Tiada ulasan:

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT