
Suatu ketika, berlaku kejadian tembak menembak antara seorang hero macho, dengan sekumpulan pengganas. Nama hero tersebut Big Boss (aku la tu..). Hero tadi datang beramai-ramai sebenarnya, dengan niat nak selamatkan kampong dia.. kampong dia dah ditawan oleh pengganas-pengganas tersebut.
Namun, semua kawanya telah mati ditembak. Dia pun dah agak, oleh kerana dia dilantik menjadi hero dalam cerita aku ni, dia mesti tak tinggal sorang-sorang. (lebih kurang cam cerita hindustan). Lalu hero ini dikepung......
“Alamak! Mati la aku..”, hero mengeluarkan ayat yang kurang macho..
Berbekalkan sepucuk pistol di tangannya, hero cuba mempertahankan diri.. hampir separuh dari bilangan pengganas itu mati ditembaknya.
Tetapi dia sedar, pelurunya akan habis.. –yang ni lak cam Hollywood.. sambil tembak, sambil countdown peluru.. baru suspen sket..
Tiba-tiba, datang seorang pengganas dari belakang, dan menendang tangannya, menyebabkan pistol di tangan hero tercampak..
“Alamak!” – ayat yang kurang macho lagi..
Si hero dibelasah teruk-teruk, sampai lebam-lebam mata. Tangan kiri patah. Dada dan perut senak. Kaki pulak takleh nak gerak dah. Leher lak cam terseliuh je.
Lalu sei hero pura-pura mati. Tak gerak langsung dah. –alahai kau. Cam Nobita je perangai..
Nak disedapkan cerita, si pengganas berasa kesian, dan agak sedikit cuak..
Kata si ketua pengganas, “Jom la kita blah.. Gi minum-minum dulu ke..”
Si hero berasa lega. Dia sangka tamatlah penderitaan yang dia alami.
Namun, tiba-tiba si hero terkentut.
Dan kantoilah bahawa si hero tu tipu-tipu mati. Mana ada mayat kentut.
Si ketua pengganas berasa amat marah. Lalu dia naik steamroll dan berhajat mahu menggiling si hero, ibarat ibu kita giling lada kat dapur.
“Alamak, habislah aku..”, adui.. kenapa la kau suka sangat cakap camni hero. Buat malu tol..
Si hero fikir, kalau nak lari, memang confirm tak sempat. Dia takleh nak gerak dah, kecuali merangkak. Dia agak cuak ketika itu. –anda pun cuak la jugak bersama beliau ye..
Lalu dia ternampak pistolnya tadi. Timbul satu idea, “Aku mesti capai pistol ni, untuk aku selamatkan diri aku. Aku mesti tembak ketua pengganas ni.”
Lalu si hero tadi berusaha MERANGKAK untuk mencapai pistol tersebut. Alangkah susahnya. Namun si hero tidak berputus asa, kerana dia tahu, itulah jalannya. Dia mesti selamat. Kawin pun belum..
Lalu cerita pun habis... –cerita apa aku buat ni? Takde ending pon..
Dalam satu riwayat, Nabi saw pernah bersabda:
“kalaupun manusia tahu betapa besar pahala shalat subuh berjamaah terutama di Masjid, maka mereka akan mendatanginya walaupun dengan merangkak.”
Dari hadis ni pun kita dah dapat banyangkan, betapa pentingnya untuk kita hadirkan diri untuk solat berjemaah. Mungkin tidak layak contoh di atas untuk membandingkan perihal pentingnya solat jemaah. Tapi, jika kita merenung dari satu sudut yang lain, mungkin begitulah peri pentingnya solat jemaah kepada individu, khususnya umat Islam sendiri.
Kita mahu menuju kepada jemaah muslim yang besar, sebuah negara Islam yang diidam-idamkan, namun kaki ini amat berat sekali untuk berjemaah di surau atau masjid. Sebaimana cerita yang saya ketengahkan di atas, mahu atau tidak mahu, antara kekuatan utama yang perlu dicapai oleh si hero ialah pistolnya, demi menyelamatkan dirinya. Begitulah juga kita umat Islam kini, dunia Islam kini semakin dia di ancam, namun kita masih lagi berat untuk bersatu. Masjid masih lagi kosong. Mana usaha kita untuk mencapai senjata kita umat Islam? Adakah kita telah berusaha sehabis baik untuk melaksanakan Islam dalam diri?
Saya tidak berniat untuk menidakkan kepentingan negara Islam kepada umat Islam sendiri. Kerana itulah kemuncak dan matlamat yang kita ingin capai. Khalifah yang menaungi seluruh umat Islam, dan menjaga kepetingan umat Islam khasnya, dan dunia umumnya. Namun, apa gunakan kita memiliki khilafah, tetapi tidak mengisi diri sendiri dengan ajaran Islam yang kukuh. Berapa lamakah negara Islam itu nanti akan bertahan?
Falsafah di sebalik Solat Jemaah
Ayuh renungi kembali falsafah di sebalik solat jemaah sendiri. Lambang kesatuan umat Islam adalah jemaah. Jadi mahu tidak mahu, umat Islam mesti menghadirkan diri untuk berjemaah.
Di dalam solat, kita diajar untuk mentaati si imam. Tidak kiralah imam itu apa jawatan dan kedudukannya. Samada imam itu guru pelatih, junior, senior, ketua jabatan, atau siapa sahaja. Itulah syaratnya. Jika sesiapa cuba untuk berpaling, atau tidak mahu mentaati si imam, maka batallah solatnya, atau kata lain, terkeluar ia dari jemaah tersebut. WAJIB mengikut IMAM.
Bagaimana jika imam melakukan kesalahan?
Maka si makmum (rakyat) wajib menegur kesalahan si imam. Bagaimana menegur? Di dalam solat, cara untuk menegur ialah dengan berkata “Subhanallah”. Lihatlah wahai sahabat, ini adalah kalimah yang mulia, kalimah yang berhikmah. Kita tidak diajar untuk menengking si imam ketika sedang solat. Malah, membatalkan solat kita. Begitu jugalah cara untuk menegur pemimpin. Gunakan cara yang hikmah. Saya tidak hanya menyatakan hikmah itu sekadar berlemah lembut sehingga si pemimpin tidak langsung memandang apa yang cuba kita nasihatkan. Tetapi hikmah itu ialah cara yang terbaik, yang difikirkan mampu mengubah keadaan, tanpa mendatangkan mudharat yang lebih besar. Jika sesebuah gerakan Islam atau jemaah memikirkan demonstrasi itu hikmah, maka itulah hikmah di pandang mereka. Jika gerakan Islam atau jemaah yang lain menyatakan menasihati pimpinan itu hikmah, maka itulah hikmah menurut mereka. Hikmah adalah sesuatu yang sukar untuk dicari. Ia adalah menurut sikap situasi dan keadaan. Ada yang akan menerima nasihat setelah ditengking, ada juga yang boleh menerima nasihat cukup dengan kata-kata yang lembut. Ada yang cukup dengan kata-kata, ada juga yang hanya akan mendapat pengajaran bila musibah itu menimpa dirinya sendiri.
Bagaimana jika imam tidak mahu mendengar nasihat?
Maka setelah kita menegur imam, tetapi imam masih tidak mahu membetulkan solatnya, wajib untuk kita mufaraqah , yakni menarik diri dari jemaah tersebut. Malah, jika kita masih mengikut imam yang salah, solat kita akan terbatal.
Contoh, si imam terlebih rakaat. Sepatutnya ketika itu sudah tahiyat akhir. Tetapi si imam terus bangun. Si makmum perlu teruskan duduk tahiyat akhir, dan menyebut “subhanallah”, supaya si imam menyedari kesalahannya. Jika si imam tidak faham, dan meneruska solatnya, makmum tidak boleh bangun mengikut imam, dalam masa yang sama, dia telah menambah rakaat solatnya. Makmum hanya perlu tunggu si imam sampai ke tahiyat akhirnya, dan memberi salam bersama-sama imam.
Maksudnya, kita sama sekali tidak boleh mengikut imam yang berbuat kemaksiatan atau kesalahan. Tidak wajib untuk kita mengikutnya dalam hal-hal tersebut, malah perlu menasihatinya.
Menggantikan Imam
Jika si imam tahu solatnya telah batal, melanggar syarat-syarat sah solat, si imam perlulah mengundurkan diri dan diganti dengan makmum yang lain untuk menjadi imam. Makmum yang bakal mengganti imam mestilah makmum yang layak, yang mampu memimpin solat tersebut. Begitu jugalah dalam hal pemerintahan.
Merapatkan saf
Ini juga satu kelemahan kita umat Islam kini. Ketika berjemaah, sukar sekali untuk kita merapatkan sah. Kerap kali saya solat di masjid,makmum di sebelah tidak merapatkan diri dengan makmum yang lain. Jaraknya dengan saya hingga mencecah satu kaki. Adakah jijik untuk kita menyentuh saudara kita sendiri??
Soalan itulah yang perlu kita jawab. Sedang Nabi sendiri memperingatkan kita tentang peri pentingnya merapatkan saf ketika solat.
Dalam satu hadis, Nabi bersabda:
"Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf), akan tercera-berai hati kamu."(Riwayat Muslim).
Dalam hadis lain,
"Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu." (Riwayat Abu Daud).
Dan banyak lagi hadis-hadis yang menekankan kepentingan merapatkan saf. antaranya, boleh klik
Mungkin inilah antara punca yang menyebabkan umat Islam hari ini tidak bersatu. Masih tidak wujud nilai ukhuwah yang tinggi sesama kita, tidak wujud rasa kasih dan sayang, dan tidak wujud rasa pentingnya berada dalam saf yang tersusun rapat dan rapi. Maka dengan mudah, si kuffar cuba meruntuhkan benteng-benteng yang cuba kita bina.
Saya bukanlah orang yang layak untuk mengkritik, malah jauh sekali mengubah keadaan. Kerja ini satu kerja yang besar. Tetapi, saya cuba untuk mengajak sahabat-sahabat bermuhasabah, memperingati diri sendiri, dan mempraktikkannya dalam diri sendiri dahulu. Tanamkan kepentingan solat berjamah dalam diri, tanamkan kepentingan menjaga solat agar lebih sempurna. Mudah-mudahan, ianya menjadi satu langkah untuk kita menuju negara Islam yang kita idam-idamkan. insyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan