
KUIS, Kg. Temin, Jerantut : Ahad, 10 Mei 2009 menyaksikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang telah berjaya menjayakan Muktamar Tahunan Kali Ke 27 dan dengan rasminya Ustaz Suhaimi Md Saad dipilih sebagai Ketua DPPNP yang baru.
Muktamar yang sepatutnya dirasmikan oleh YB Dato' Hj Mahfuz Omar digantikan oleh Sdr Suhaizan Kayat, Ketua Penerangan DPP Pusat.
Perwakilan kali ini agak terbuka dalam memberi pandangan, kritikan dan pertanyaan kepada barisan kepimpinan DPPNP. Keadaan agak panas bila perwakilan pemuda Temerloh membawa usul agar penjawat utama JPN Pahang dirombak...
Usul tersebut telah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan DPP Temerloh seterusnya diterima tanpa bahas dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Temerloh pada bulan Mac yang lalu.
Keadaan agak tegang bilamana seorang pembahas daripada Pemuda Kuala Krau membantah usul tersebut dengan hujjah 'angka-angkanya' dan membela JPN yang dilihatnya telah banyak berjasa kepada PAS Pahang.
Keadaan semakin panas apabila seorang lagi perwakilan pemuda Temerloh bangun mempertahankan usul tersebut dengan menyatakan bahawa perubahan adalah suatu perkara biasa dalam kematangan politik moden. Tugas pertama yang dilakukan oleh Amirul Mukminin Umar Al-Khattab setelah menjadi Khalifah ialah merombak jentera perang yang ketika itu dipimpin oleh Saidina Khalid Alwalid. Apabila disoal, Umar menegaskan bahawa :
1. Populariti Panglima perang tidak boleh mengatasi populariti Khalifah. Bermakna, Jentera tidak boleh menguasai minda pemimpin, apatah lagi mengorak strategi kepimpinan.
2. Umat Islam tidak boleh terus berkhayal dengan kekuatan seorang pemimpin tanpa mengira perlunya pelapis yang mesti mengambil alih kepimpinan masa depan. Bermakna, kita tidak boleh terlalu bergantung dengan mana-mana individu sehingga melupakan kepimpinan yang lain yang lebih ramai.
3. Kamu, wahai Khalid, aku bimbang fitnah ego dan sombong wujud dalam diri kamu selepas semua peperangan yang dipimpin mencapai kemenangan. Bermakna, kita memberi ruang kepada pemimpin untuk muhasabah diri agar lebih cermat dalam percakapan dan tindakan. Jangan sampai kita merasakan diri kita saja yang berjuang hebat dan mengabaikan pengorbanan pejuang-pejuang lain.
Atas asas inilah, DPP Temerloh mengajak para perwakilan agar menyokong usul tersebut agar perubahan berlaku dalam JPN Pahang seterusnya kita menghadapi PRU13 dengan tenaga dan idea yang baru lagi suci mukhlissina lahuddin.
Alhamdulillah, usul diterima sebahagian besar perwakilan. DPP Temerloh mengharapkan agar semua pihak berlapang dada dengan keputusan ini. DPP Temerloh juga menginsafi bahawa terlalu banyak urusan yang tidak diberikan fokus terutama soal pilihanraya.
Oleh itu, DPP Temerloh akan cuba mengorak langkah baru penuh keyakinan dan strategi agar peranan pemuda dapat dimaksimakan dalam usaha mencapai kemenangan di Parlimen Temerloh dan 3 Dun Kuala Semantan, Mentakab dan Lanchang.
ALLAHU AKBAR ! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan