Khamis, 4 Februari 2010

Bila Terlajak Perahu...


Oleh : Dewan Pemuda PAS Temerloh

Tidak ada isu yang paling mencuri perhatian melainkan isu ketidakpuashatian Sdra. Abdullah Abdul Karim (AAK) terhadap keputusan JK Displin menjatuhkan hukuman kepada mereka yang telah diketahui umum.

Bagi mereka yang sempat membaca posting sebelum ini, tentu ada yang marah atau gelihati dengan ulasan PaipPecah. Namun, posting tersebut terpaksa dikeluarkan untuk menjaga maslahah jemaah. Tatapi, itulah politik. Kalau diri terlalu cengengeng, usah berada dalam kancah politik.

AAK orang Pahang bahkan orang Temerloh, tentu ramai yang menunggu respon DPP terhadap penulisannya yang dikira melampau oleh Dato’ Tuan Ibrahim, Pesuruhjaya PAS Pahang.

Ada sahabat AJK DPP memaklumkan beliau membalas sms dengan AAK. Akhir smsnya berbunyi lebih kurang, antara puluhan kenalan yang menghantar sms, hanya 2 orang yang menentangnya.

Sahabat AJK lainnya pula menghantar sms kepada saya meminta agar ditubuhkan JK Khas Kawasan untuk mengambil tindakan ke atas AAK. Bahkan hampir semua AJK DPPT hanya menggeleng kepala memikirkan tindakan melampau AAK.

Salah seorang Exco Pemuda Pusat yang ditemui DPPT mengatakan, ramai ahli dan penyokong mulai lupa bahawa PAS bukan sahaja sebuah parti politik bahkan juga sebuah gerakan Islam yang penuh dengan adab dalam perjuangan.

Terkadang ketika kita berpolitik, banyak perkara yang tidak diendahkan. Memang benar seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Supyan Husin ketika program Mukhayyam Tarbawi Qiadi di Gua Kota Gelanggi, Jerantut baru-baru ini.

Di dalam kerja jemaah, kita bukan sahaja perlu menilai diri tetapi yang paling penting menilai pasukan keseluruhannya. Usah mengharapkan Jemaah mengikut kemahuan kita, tetapi kitalah yang mesti larut di dalam Jemaah.

Selalunya, naqib usrah akan menekankan aspek patuh arahan pimpinan, akur keputusan Jemaah, sanggup mengorbankan perasaan diri demi perasaan sahabat lain dan banyak lagi, tapi bagaimana pula jika naqib itu sendiri gagal mengikuti pesanannya.

Ramai pimpinan di Pahang khususnya Temerloh, namun dimana mereka sekarang? Samada telah meninggal dunia [alfatihah], atau sedang menghabiskan usia dengan amalan peribadi. Sedangkan yang lain samada sengaja menyibukkan diri dengan perkara lain atau bertindak ikut suka dalam politik sempit yang hanya difahami mereka.

Bagi yang sengaja menjauhkan diri dari Jemaah, mereka mungkin tergolong dari golongan yang makan perasaan, kecil hati dan membawa diri jauh hanya kerana tidak berjaya mengawal politik dalaman. Maka, jika telah tercicir, selamat tinggal perjuangan.
Berbalik kepada isu AAK, DPPT amat terkejut apabila tamat dari program mukhayyam, kami digemparkan dengan isu AAK. Targamaknya AAK menuduh PJ dan Bekas PJ dengan tuduhan dan kata-kata yang menampakkan diri AAK tidak tahu budi bahasa. Tidak ada cara dan kata-kata lainkah?

Memang benar sebagai ahli atau penyokong, kita bebas mempersoalkan dan menegur pimpinan. Tapi adakah AAK tidak ada malu langsung untuk menghentam PJ AAK sendiri dengan lenggok bahasa yang kurang ajar?

Kerana itulah, sebagai gerakan Islam kita perlu sentiasa ditarbiah dengan usrah, liqa’ fikri, mukhayyam dan sebagainya untuk menguatkan jatidiri seorang pejuang. Kalau ahli dan pimpinan PAS hanya sibuk membicarakan kepentingan politik, beginilah contohnya.

Oleh itu, DPPT amat mengharapkan semua Pemuda agar iltizam dengan program parti samada politik dan tarbiah agar seiring dan menepati kualiti perjuangan yang diredhai Ilahi.

Ingatlah wahai pemimpin dan ahli PAS; kalau Nabi Muhammad hanya dambakan kekuasaan memerintah, tidak perlu baginda keluar berhijrah. Kalau kita HANYA pentingkan kemenangan di dunia, kita boleh pilih masuk PKR, DAP atau lainnya.

Tiada ulasan:

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT