Jumaat, 5 Mac 2010

SEE YOU IN COURT …


Oleh : Labu bin Labi

Seorang teman ada menceritakan perihal satu kejadian tidak diduga telah berlaku di sekolah, tempat isterinya mengajar.

Ia berkaitan seorang pelajar yang didapati mencuri telah dipukul oleh 18 orang pelajar termasuk ketua pengawas dan ketua pelajar.

Pelajar bernama R telah membuat aduan kepada guru besar dan mengugut akan membuat laporan polis. Setelah perbincangan demi nama baik sekolah dan masa depan pelajar, R menuntut setiap seorang yang memukulnya membayar RM50.00 atau jumlahnya RM900.00.


5 hari kemudian, R pulang ke rumah dan kembali ke sekolah bersama ayahnya dan anggota polis. R mengaku ayahnya tidak berpuas hati kerana pampasan terlalu sedikit. Sedikit penjelasan, tubuh R sihat dan tidak mempunyai kecacatan atau kecederaan. Hanya lebam sedikit dimukanya. Ayahnya menuntut setiap pelajar membayar RM500.00 seorang atau jumlahnya RM9,000.00.

Ayahnya juga menuntut pihak sekolah memanggil semua ibubapa pelajar terbabit. Maka, berlakulah sedikit pertengkaran diantara mereka. Akhirnya, semua pelajar membayar RM50.00 seorang dan jumlah RM900.00 dimasukkan ke dalam akuan bank R dengan jagaan guru.


Kisah di atas hanyalah satu daripada ribuan cerita ugutan dan saman menyaman yang membabitkan institusi pendidikan negara. Pelajar saman guru, guru saman ibubapa, ibubapa saman guru, guru saman guru besar dan pelbagai lagi. Teruk sangatkah dasar pendidikan hari ini?

Kisah di atas sebagai contoh hilangnya sensetiviti ibubapa bila anaknya didapati mencuri. Bahkan memaksa pihak sekolah membayar pampasan berpunca sikap mencuri anaknya. Hilang isu mencuri, isu pukul pulak difokuskan.

Kisah lain pula, pelajar didenda akibat kenakalan dan kedegilan di sekolah. Tapi ibubapa pula ke sekolah menampar guru berkenaan. Anak-anak hari ini ‘cukup beruntung’ kerana tiada lagi kesungguhan guru mendisplinkan mereka di sekolah. Di rumah pula, mereka bebas mengikut hawa nafsu mereka.

Jika dulu, ayah menghantar anak ke sekolah agar dengan harapan menjadi insan berguna kepada masyarakat. Hari ini, kebanyakan ibubapa menghantar anak agar mereka boleh dapat no.1 dalam exam atau dapat gred tinggi dalam SPM. Berbeza kan?

Hari ini jika anak terlalu nakal dan tidak dapat dikawal, maka anak itu akan dihantar ke sekolah agama berasrama atau sekolah pondok dan seumpamanya. Alasannya, tidak tahan lagi melihat dihadapan mata setiap hari.

Akhirnya, anak itu telah merosakkan suasana pembelajaran di sekolah baru. Lebih teruk lagi anak itu telah mengembangkan pengaruhnya dan berlaku buli membuli di sekolah. Sekolah agama @ pondok dah jadi tempat pemulihan akhlak remaja. Anak-anak yang baik dan cerdik dihantar ke sekolah yang kononnya memberi harapan masa depan mereka.

Sepatutnya anak-anak yang cerdik dan baik ini dihantar ke sekolah agama @ pondok untuk mereka lebih mendalami agama seterusnya mendidik generasi akan datang. Pelik, kan?

Dah sampai masanya, dasar pendidikan negara dirombak sesuai dengan tuntutan Islam yang syumul. Moga Islam akan menang dan menerangi bumi bertuah ini.

Tiada ulasan:

ASSALAMUALAIKUM WRT WBT